Gencatan senjata dua minggu di Yaman

Sukarelawan di Yaman menyembur pensanitasi tangan pada seorang penduduk di kawasan kejiranan miskin di ibu negara. - FOTO: AGENSI
Sukarelawan di Yaman menyembur pensanitasi tangan pada seorang penduduk di kawasan kejiranan miskin di ibu negara. - FOTO: AGENSI
A
A
A

RIYADH - Tentera gabungan Arab diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Houthi telah mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu bermula hari ini sebagai usaha untuk mencegah penularan koronavirus (Covid-19).

Gencatan senjata unilateral itu dilaksanakan selepas Riyadh berdepan desakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam di Yaman daripada wabak tersebut.

“Tentera gabungan Arab menyokong usaha memerangi Covid-19,” kata jurucakapnya, Turki al-Maliki semalam.

Menurutnya, tempoh gencatan senjata itu yang boleh dilanjutkan bertujuan mewujudkan syarat yang sesuai untuk mesyuarat antara pihak bertelagah tajaan PBB bagi melaksanakan gencatan senjata kekal di Yaman.

Wakil Khas PBB, Martin Griffiths dalam satu kenyataan turut menyambut baik langkah tempoh bertenang tersebut dan beliau meminta semua pihak supaya segera menghentikan permusuhan yang telah tercetus sejak 2015 serta mencetuskan krisis kemanusiaan paling teruk di dunia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid Salman berharap pemberontak Houthi memberi kerjasama yang baik.

“Tempoh gencatan senjata selama 14 hari itu diharap dapat mewujudkan situasi lebih berkesan untuk meredakan konflik dan bekerjasama ke arah penyelesaian politik,” ujarnya.

Difahamkan, beberapa jam sebelum pengumuman itu, pemberontak Houthi mengeluarkan satu dokumen lengkap menggesa pengunduran tentera asing dan menarik balik sekatan di darat, udara dan laut.

Artikel Berkaitan:

Pemberontak Houthi juga mendakwa gencatan senjata tersebut telah dicabuli tidak lama selepas pengumuman itu dibuat berikutan beberapa kedudukan di wilayah termasuk Sa’ada, Amran dan al-Bayda didakwa telah dibedil melalui serangan udara. - AFP