Projek pembinaan kritikal dibenarkan beroperasi: Annuar

Annuar
Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek pembinaan bersifat kritikal diberi pengecualian dan dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek pembinaan bersifat kritikal itu dibenarkan diteruskan bagi menjamin keselamatan awam.

“Saya terima aduan daripada orang ramai yang beritahu mereka lihat ada orang bekerja di tapak binaan terutama di kawasan projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT).

“Untuk pengetahuan, beberapa pengecualian telah dipersetujui diberikan bagi projek pembinaan bersifat kritikal bagi menjamin keselamatan.

“Ketika ini kerja pengorekan sedang dilakukan di enam tapak pembinaan MRT, ia tidak boleh diberhentikan dan perlu berjalan 24 jam. Kalau berhenti mungkin boleh berlaku runtuhan membahayakan,” katanya pada sidang media secara live di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas aduan orang ramai memaklumkan terdapat kerja-kerja dilaksanakan di tapak pembinaan meskipun tempoh PKP masih dikuatkuasakan ketika ini.

Terdahulu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan memaklumkan, kerja mengorek terowong oleh syarikat pembinaan terbabit telah mendapat kelulusan untuk diteruskan.

Katanya, terdapat juga beberapa kerja pembinaan lain yang diberi pengecualian dan dibenarkan beroperasi termasuk kerja pembinaan merentasi lebuh raya yang jika terhenti mungkin boleh menyebabkan aspek teknikal bermasalah.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan itu syarikat pembinaan terlibat diberi pengecualian dengan syarat mereka perlu memastikan pematuhan kepada garis panduan oleh Kementerian Kesihatan(KKM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya sudah adakan pertemuan dengan pengurusan syarikat terlibat untuk beri penegasan kepada mereka tentang apa yang mereka harus lakukan.

"Ia termasuk mengemukakan senarai nama pekerja yang mendapat kebenaran,” katanya.