Kerajaan disaran tumpu pertanian berunsur makanan: Rapat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Rapat Rakyat (Rapat) menyarankan kerajaan supaya memberi tumpuan kepada sektor pertanian berunsur makanan dengan memperkenalkan model baharu pasca pandemik koronavirus (Covic-19).

Presidennya, Mustaffa Kamil Ayub berkata, sektor sumber bekalan makanan adalah paling utama dan kritikal terutama pada saat ini, untuk beberapa bulan dan tahun mendatang.

Menurutnya, penting untuk kerajaan melihat 'food security' agar negara tidak terlalu bergantung kepada sumber import bagi pasca pandemik Covid-19.

"Dengan import makanan berjumlah hampir RM52 bilion pada tahun 2018 (peningkatan purata 6.5 peratus setiap tahun sejak 2010 - RM30 bilion), kita boleh menjimatkan hampir RM14-RM27 bilion import makanan jika kita dapat mengeluarkan makanan sendiri atau setengah daripada import tersebut terutama di sektor perladangan, perikanan dan penternakan.

"Kerajaan mesti menukar polisi dengan memberi lebih tumpuan kepada sektor pertanian berunsur makanan. Pembiayaan bagi sektor pertanian berasaskan makanan amat penting dalam membangunkan rantaian nilai sektor ini, kerana pendapatan yang rendah, pulangan yang rendah berbanding sektor bukan-makanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya juga tanah pertanian kelapa sawit yang didominasi oleh sektor korporat dan pekebun kecil turut memberi tumpuan atau mempelbagaikan nilai guna tanah mereka kepada pertanian berasaskan makanan.

Jelasnya, komoditi kelapa sawit (6 juta hektar) dan getah (1.2 juta hektar) mendominasi hampir 92 peratus atau 7.2 juta hektar tanah pertanian.

"Kerajaan negeri yang mempunyai tanah pertanian yang terbiar perlu bekerjasama dengan sektor swasta terutamanya koperasi dalam membangunkan sektor pertanian berasaskan makanan dengan konsep perkongsian modal/pembiayaan modal /kerjasama tanpa pengenaan bunga/interest dan tanpa sewa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pembiayaan mestilah secara perkongsian modal, pembiayaan modal (venture capital) atau kerjasama tanpa pengenaan bunga/interest sama ada dengan sektor swasta atau kerajaan.

"Di sini terdapat keperluan untuk institusi pembangunan kewangan/pembiayaan (DFI) untuk membiayai tanpa terikat dengan Bank Negara yang berasaskan bunga/interest dalam menilai pembiayaannya," katanya.