Econsave tawar topeng muka serendah 99 sen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KULAI - Atas rasa keprihatinan supaya semua individu berpeluang memiliki topeng muka di musim pandemik koronavirus (Covid-19) pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) tampil menawarkan kepada pelanggan 10 juta unit barangan berkenaan pada harga serendah 99 sen seunit.

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, topeng muka tiga lapisan itu dibawa masuk secara berperingkat dari China dan mula dijual di semua cawangan pasar raya terbabit di seluruh negara mulai esok.

“Walaupun harga siling bagi penutup hidung dan mulut adalah RM1.50 seunit seperti ditetapkan kerajaan namun Econsave merasakan bukan waktunya ketika ini untuk pihak kami (Econsave) meraih keuntungan.

“Ini sebahagian besar tanggungjawab sosial korporat kami kepada masyarakat, sehubungan itu kami menawarkannya pada harga yang rendah berbanding harga siling,” katanya yang ditemui pemberita di Econsave Senai di sini hari ini.

Mas Imran berkata, untuk kawasan zon merah Covid-19 di seperti Simpang Renggam dan Johor Bahru, sebanyak 100,000 keping topeng muka itu ditawarkan di setiap Econsave di kawasan berkenaan, zon kuning (40,000 keping) manakala zon hijau (30,000 keping).

“Topeng muka ini dijual dalam bungkusan mengandungi 50 unit berharga RM49.50 yang bersamaan 99 sen seunit,” katanya.

Katanya, setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli satu bungkusan sahaja bagi mengelak mereka menjual semula di pasaran pada harga tinggi.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata, selain topeng muka, Econsave turut menawarkan cecair pembasmi kuman tangan kepada pelanggan menerusi jenama Econsave sendiri.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, barangan terbabit yang dijual pada harga mampu milik akan memasuki pasaran Johor dalam masa terdekat. - Bernama