X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia saran ASEAN pantas bertindak perangi Covid-19: Hishammuddin

Hishammuddin ketika Mesyuarat Khas Majlis Koordinasi ASEAN berkenaan Covid-19 di sini hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan tiga elemen utama perlu diambil oleh negara-negara ASEAN bagi memerangi wabak koronavirus (Covid-19) iaitu kepantasan bertindak, memperluaskan skala dan solidariti.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dari segi kepantasan bertindak, Malaysia telah menyediakan garis panduan bagi menghantar bantuan kecemasan kepada negara rakan ASEAN bagi menghadapi wabak itu.

Menurutnya, kepantasan memerangi penyebaran berita palsu di media sosial juga penting terutamanya dalam situasi orang ramai lebih banyak berada di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebagai contoh, Brunei mengambil langkah membantu bawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir dan begitu juga dengan kita (Malaysia) yang telah membantu membawa pulang rakyat Singapura dan Indonesia yang terkandas di Iran dan Nepal,” katanya ketika Mesyuarat Khas Majlis Koordinasi ASEAN berkenaan Covid-19 di sini hari ini.

Kata Hishammuddin lagi, Malaysia merupakan antara negara yang bersetuju untuk memanfaatkan Tabung Khas ASEAN Covid-19 seperti yang dicadangkan oleh Thailand agar skala bantuan kecemasan berkenaan diperluas.

“Kita perlu manfaatkan penggunaan dana tersebut melibatkan keperluan kecemasan seperti penutup hidung dan mulut, peralatan perlindungan diri (PPE) dan juga kit ujian.

“Kita sedar isu kekurangan bekalan keperluan tersebut dihadapi di peringkat global, bagaimanapun kita perlu bersiap sedia bagi berdepan sebarang kemungkinan (kekurangan bekalan),” katanya lagi.

Selain itu, ASEAN perlu bersedia dengan pelan pemulihan pasca wabak Covid-19 kerana sekiranya lambat bertindak, ia akan menggugat kerjasama serantau ini.

“Dengan sekatan pergerakan, wabak Covid-19 terbukti menjadi ancaman terbesar buat rangkaian negara ASEAN. Secara bersama, rantau ini yang memiliki 600 juta penduduk mesti bekerjasama bagi memastikan ASEAN sebagai rantau bebas Covid-19.

“Kita mesti menunjukkan kepada dunia bahawa kita mempunyai kesungguhan dan keinginan politik untuk membantu rakyat menghadapi pandemik ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!