X

Kindly register in order to view this article
!

Dua kematian direkod, wanita 23 tahun korban termuda Covid-19

Dr Noor Hisham ketika bercakap pada sidang media perkembangan semasa wabak Covid-19 di KKM di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PUTRAJAYA - Dua kematian termasuk seorang wanita berusia 23 tahun menjadi korban termuda wabak Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kematian 67 kes.

"Kes ke-66 melibatkan pesakit kes ke-2798 yang merupakan lelaki berusia 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik yang lain," katanya.

Menurutnya, pesakit mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

"Dia telah dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia 5 pagi tadi," katanya pada sidang akhbar harian perkembangan semasa kes Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Beliau berkata, kes kematian ke-67 melibatkan kes positif ke-2864 yang merupakan perempuan berumur 23 tahun serta mempunyai penyakit tiroid.

"Dia mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19 iaitu kes ke-2469 dan kes ke-2470 dan merupakan kes generasi ke lima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak.

"Dia telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal 9.42 pagi tadi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan merekodkan 121 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,608 kes iaitu 38.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Menurutnya, sebanyak 109 kes baharu jangkitan direkodkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan 4,228 kes.

"Ini bermakna, bilangan kes yang discaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan," katanya.

Katanya, seramai 72 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada jumlah tersebut, 43 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus