Kes denggi meningkat di Johor

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 516 kes denggi dicatatkan di seluruh negeri ini dari 30 Disember 2018 hingga 12 Januari lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, angka itu mencatatkan peningkatan sebanyak 236 kes bersamaan 84.3 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 280 kes.

"Jumlah kumulatif kes kematian denggi sehingga Minggu Epid ke 02/2019 adalah sebanyak dua kes iaitu satu kematian di Johor Bahru dan satu kematian di Batu Pahat berbanding satu kes pada 2018.

"Pada tempoh sama, daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Johor Bahru yang menyumbang sebanyak 70.4 peratus dari jumlah keseluruhan kes," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Selahuddeen berkata, Kulai mencatatkan sebanyak 6.9 peratus kes diikuti Batu Pahat (5.8 peratus), Pontian (4 peratus), Kota Tinggi (3.2 peratus), Tangkak (2.5 peratus), Kluang (2.1 peratus), Mersing (2.1 peratus), Muar (1.4 peratus) dan Segamat (1.1 peratus).

Katanya, daerah yang menunjukkan peningkatan kes berbanding Minggu Epid 1/2019 adalah Kulai sebanyak 11 kes diikuti Batu Pahat (9), Pontian (7), Mersing (5), Kota Tinggi (4) dan Tangkak (4).

"Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan mengadakan operasi penguatkuasaan premis individu (OPPI) di kawasan wabak denggi dalam daerah Johor Bahru pada 15 dan 16 Januari.

"Ia akan melibatkan 12 lokaliti wabak. Adalah dimaklumkan sekiranya terdapat atau dijumpai pembiakan aedes di premis kediaman semasa operasi dijalankan maka kompaun RM500 akan dikenakan. Sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didenda di mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Ops Gempur Aedes juga akan diadakan di daerah lain pada tarikh yang sama, bagi memastikan masyarakat mengambil tindakan pembersihan tempat pembiakan jentik-jentik di persekitaran demi menghalang penularan virus denggi dalam kalangan penduduk.