Covid-19: Wisma Putra tubuh MDES elak bebankan kerajaan

Hishammuddin menyaksikan penyerahan sumbangan yang disalurkan kepada MDES di Wisma Putra, Putrajaya hari ini.
Hishammuddin menyaksikan penyerahan sumbangan yang disalurkan kepada MDES di Wisma Putra, Putrajaya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengambil inisiatif mewujudkan Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) bagi membuka peluang kepada semua pihak menyumbang bantuan bagi kegunaan Wisma Putra sepanjang krisis koronavirus (Covid-19).

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bantuan daripada individu, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk peralatan perubatan, kewangan serta lain-lain yang bersesuaian.

Menurutnya, pihak terawal yang berbuat demikian adalah kerajaan China dengan menyumbang 10,000 topeng muka pada 30 Mac lalu sebelum diagihkan kepada perwakilan Malaysia di luar negara secara berperingkat sejak 2 April.

“Sebuah syarikat di Jepun iaitu JAGAM (Tokyo Chapter) and Jounan Shoji Co. Ltd turut menyumbangkan sejumlah topeng muka khusus untuk warga Wisma Putra yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Tokyo pada 2 April 2020.

“Susulan daripada itu, hari ini banyak lagi pihak termasuk individu tampil menyumbang topeng muka iaitu Perfect China Co. Ltd sebanyak 300,000, The Weststar Group (30,000), China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (8,000), dan Malaysia-Myanmar Business Commerce (7,500).

“Manakala, sebahagian lagi menyumbang kewangan iaitu Anonymous sebanyak RM150,000, Roadcare (M) Sdn Bhd (RM50,000) dan Tan Sri Francis Lau Tuang Guang (RM50,000),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan setakat hari ini, Wisma Putra melalui MDES menerima sumbangan lebih 355,500 topeng muka dan kewangan berjumlah RM250,000.

Menurutnya, MDES diwujudkan kerana Wisma Putra tidak mahu menambah beban kerajaan mendapatkan kelengkapan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diberikan kepada barisan hadapan Wisma Putra.

Artikel Berkaitan:

“Wisma Putra faham bahawa barisan hadapan Covid-19 di Malaysia khususnya petugas kesihatan, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih memerlukan serta perlu diberi keutamaan.

“Selain peralatan perubatan serta wang ringgit, banyak pihak turut memberi kata-kata semangat.

“Saya percaya, sumbangan dan sokongan melalui pelbagai cara ini mengukuhkan lagi tekad barisan hadapan Wisma Putra untuk terus melakukan yang terbaik khususnya membantu rakyat kita yang masih terkandas di luar negara,” katanya.