Guru rugi RM387,000 ditipu 'polis trafik'

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang guru sekolah rendah kerugian RM387,000 diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis trafik di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wanita berusia 38 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian itu di sebuah balai polis di sini pada jam 11.48 pagi.

Menurutnya, semuanya bermula apabila mangsa yang bertugas di sebuah sekolah di Kluang menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai polis trafik pada 4 Februari lepas yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes langgar lari.

“Susulan itu, mangsa telah diminta untuk membuka akaun bank yang baharu kononnya untuk memastikan wang wanita itu selamat.

“Mangsa juga diarahkan untuk mendaftarkan nombor telefon yang tidak dikenali ke atas akaun bank baharu itu dengan alasan untuk memudahkan kawalan ke atas akaun itu tetapi sebenarnya bertujuan untuk mengaktifkan perbankan internet mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, mangsa turut diarahkan untuk memindahkan semua wang ke dalam akaun bank baharu itu dan merahsiakan perkara tersebut daripada pihak keluarga dan kawan-kawan selain diarah memadamkan perbualan telefon (WhatsApp) dan juga menghapuskan slip-slip bank berkaitan bagi menghilangkan bukti dan keterangan.

Beliau berkata, mangsa tidak menyedari wangnya, yang sebahagiannya terdiri daripada duit simpanan dan pinjaman peribadi itu hilang kerana suspek telah mengawal akaun bank mangsa melalui perbankan internet.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: