Pos Malaysia henti hantar 'parcel' ke zon merah?

Foto dari portal The Vocket menunjukkan senarai kawasan zon merah.
Foto dari portal The Vocket menunjukkan senarai kawasan zon merah.
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, ramai orang mengambil inisiatif berbelanja secara atas talian bagi mengelak pergerakan di luar kawasan rumah.

Bagaimanapun kebelakangan ini, netizen menyatakan ketidakpuasan hati mereka kerana mendakwa barang yang dipesan lambat sampai dan ada di antaranya tidak kunjung tiba.

Menerusi portal The Vocket, perkhidmatan pos dan Pos Laju didakwa terpaksa dihentikan operasi mereka di beberapa kawasan zon merah.

Sehubungan itu, jika kawasan tempat tinggal anda tersenarai dalam kawasan zon merah, maka kiriman bungkusan atau ‘parcel’ mungkin tidak dapat dihantar buat masa sekarang.

Turut dipaparkan di portal berkenaan senarai kawasan zon merah yang dipercayai ditampal oleh pihak pejabat pos semalam.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, jurucakap Pos Malaysia dalam kenyataan kepada Sinar Harian menafikan perkara itu.

Pos Malaysia meminta orang ramai merujuk kepada laman web atau saluran media sosial rasminya untuk mendapatkan maklumat terkini.

Pada ketika ini, perkhidmatan Pos Laju masih beroperasi seperti biasa, kecuali di kawasan-kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).