Lelaki ditahan miliki pistol tiruan, dadah

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK – Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Samudera, Batu Caves, di sini, semalam untuk siasatan kes memiliki pistol tiruan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak membuat serbuan di kediaman itu pada jam 4 pagi.

"Hasil pemeriksaan kita menjumpai dua pucuk pistol tiruan, dua paket ‘ball bearing’, satu gari dan lima paket plastik disyaki dadah jenis syabu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, lelaki tersebut direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Arifai Tarawe
Arifai Tarawe

Dalam perkembangan kes berasingan, Arifai memaklumkan, pihaknya telah menahan empat lelaki termasuk seorang warga Myanmar dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal.

“Dua lelaki berusia 24 dan 35 tahun yang menaiki sebuah motosikal jenis Modenas CT100 itu ditahan oleh sepasukan anggota ‘Team Lejang’ dari Balai Polis Selayang di tepi jalan Batu 7 Jalan Gombak pada jam 3.20 petang. Hasil semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Ampang.

"Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar berusia 27 dan 35 tahun pula ditahan di lokasi sama pada jam 8 malam. Hasil siasatan mendapati motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dinaiki suspek dilaporkan hilang di Gombak. Kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: