Rayuan kes saman fitnah Guan Eng terhadap Perkasa, 22 September

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 22 September untuk mendengar rayuan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam tuntutan saman fitnahnya terhadap Perkasa dan dua lagi.

Peguam, Adnan Seman yang mewakili Perkasa dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tarikh perbicaraan itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Azniza Mohd Ali melalui e-Review iaitu prosiding pengurusan kes secara dalam talian.

Peguam Americk Singh Sidhu yang mewakili Guan Eng menerusi khidmat pesanan ringkas turut mengesahkan tarikh pendengaran itu.

Datuk Ibrahim Ali.
Datuk Ibrahim Ali.

Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada Guan Eng untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Perkasa, Ibrahim dan bekas Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim membayar ganti rugi kepada Guan Eng kerana memfitnahnya.

Persoalan undang-undang yang telah dipersetujui oleh semua pihak adalah berkaitan locus standi (hak atau kapasiti dari segi undang-undang) Guan Eng untuk mempertahankan saman dalam kapasiti rasminya.

Pada Disember 2016, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi beliau.

Guan Eng pada 2012, memfailkan saman fitnah terhadap Perkasa, Ibrahim, Ruslan, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd atas kenyataan yang dibuat oleh Ruslan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Oktober 2011 yang didakwa membayangkan Guan Eng membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Tinggi pada 2015, memerintahkan Perkasa, Ibrahim dan Ruslan membayar ganti rugi am dan teruk sebanyak RM150,000 manakala NSTP dan Utusan masing-masing diperintahkan membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan teruk.

Bagaimanapun, di Mahkamah Persekutuan, kedua-dua media arus perdana itu bersetuju untuk memenuhi perintah Mahkamah Tinggi dan membayar kepada Guan Eng masing-masing RM200,000 sebagai ganti rugi.

Peguam Hussin Mohd Razak mewakili Ruslan. - Bernama