Lelaki Filipina guna kad pengenalan palsu mohon kerja

Suspek di bawa keluar dari mahkamah selepas mendapat perintah reman.
A
A

SERI MANJUNG - Seorang lelaki warganegara FIlipina ditahan reman bagi membantu siasatan menggunakan kad pengenalan palsu ketika memohon kerja di salah sebuah syarikat perkapalan di sini, hari ini.

Suspek berusia 49 tahun, berasal dari Mindanao, Filipina, tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung menaiki kenderaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekitar jam 9.05 pagi memakai pakaian lokap polis.

Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid kemudiannya membenarkan suspek direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007.

Menurut sumber JPN suspek ditahan ketika cuba memohon pekerjaan di salah sebuah syarikat perkapalan di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, sekitar jam 10.30 pagi, semalam.

"Dia datang ke syarikat tersebut untuk memohon pekerjaan dan memberikan kad pengenalan sebelum jabatan sumber manusia syarikat berkenaan menelefon pegawai JPN untuk hadir membuat semakan.

"Selepas semakan dijalankan suspek didapati menggunakan kad pengenalan palsu di mana terdapat gambarnya di atas kad pengenalan tersebut tetapi menggunakan nama individu lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek baru tiba di Manjung dua minggu lalu selepas gagal mencari pekerjaan di Johor dan dibantu oleh ejen dipercayai sindiket kad pengenalan palsu.

"Dia memaklumkan bahawa dia sudah bekerja di Malaysia sejak tahun 1983 iaitu di Sabah sebelum berpindah dan bekerja di Johor selama setahun lebih dan di situ dia menerima kad pengenalan palsu dengan bayaran RM1,500," katanya.