Kes Adib: Ummah buat laporan polis terhadap Peguam Negara

Aminuddin (empat dari kiri) selepas selesai membuat laporan polis ke atas Peguam Negara, Tommy Thomas di IPD Dang Wangi hari ini.
Aminuddin (empat dari kiri) selepas selesai membuat laporan polis ke atas Peguam Negara, Tommy Thomas di IPD Dang Wangi hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dijangka akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran dalam masa terdekat bagi menuntut keadilan ke atas kematian anggota bomba Muhamad Adib Mohd Kasim.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya berkata, perhimpunan itu akan dibuat berikutan kes Muhamad Adib seolah-olah mempunyai campur tangan politik dan kacau ganggu pihak berkepentingan.

"Walau bagaimanapun Ummah akan melihat terlebih dahulu apa maklum balas daripada Peguam Negara, Tommy Thomas terhadap laporan polis yang kami buat hari ini.

"Hari ini, Ummah membuat laporan polis terhadap Tommy Thomas berhubung kemungkinan terdapatnya sebarang salah laku atau kacau ganggu dalam pengendalian siasatan kes pembunuhan Muhammad Adib, sehingga ia tertangguh begitu lama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Aminuddin berkata, kes ini sepatutnya sudah boleh selesai awal dan tidak perlu diwujudkan inkues kerana pesalah dalam kes Muhamad Adib sudah dikenalpasti.

"Ummah juga mempersoalkan kenapa pesalah yang telah dikenalpasti diberi ikat jamin keluar, ini adalah salah dari segi akta.

"Justeru itu, kita minta pihak polis membuat siasatan secepat mungkin kes inj kerana ia merupakan simbol kepada keadilan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin menambah, Ummah juga minta kerajaan mengambil tindakan segera terutamanya peguam negara supaya tidak melakukan apa-apa lagi penangguhan atau apa yang tular di media sosial mungkin berlaku kacau ganggu dalam laporan yang dibuat terhadap kes ini.

"Jadi kita mendesak peguam negara dedahkan laporan kes ini secepat mungkin kepada umum dan mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah yang telah dikenalpasti itu," katanya.

Pada 17 Disember lalu, Muhamad Adib,24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama dua minggu akibat parah diserang dan pukul sekumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya.

Pada 7 Disember empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden, Muhammad Adib direman selama empat hari dan tiga hari kemudian empat lelaki yang direman dibebaskan dengan jamin bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 24 Disember polis menyerahkan hasil kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan pada 27 Disember Jabatan peguam negara mengarahkan siasatan inkues dijalankan.

Mahkamah Shah Alam menetapkan pada 18 Januari ini bagi pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Pada 10 Januari, polis telah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian anggota Muhammad Adib dan kertas siasatan itu dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.