Jual makanan di kawasan PKPD atasi masalah kurang bekalan

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi menjual makanan asas di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Menara Plaza City One dan Malayan Mansion serta Selangor Mansion berkemungkinan akan dilaksanakan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia susulan lokasi itu didiami 97 peratus warga asing yang didakwa terlalu padat, dibimbangi menimbulkan masalah stok bekalan makanan.

"Apa yang akan dilakukan adalah kita akan bekerjasama dengan pembekal, penjual makanan untuk pasang khemah dan jual barang asas seperti tepung gandum, minyak, telur dan beras kepada penghuni.

"Penghuni dibenarkan turun secara kumpulan dalam keadaan terkawal bukan secara bebas hanya untuk beli keperluan yang diperlukan," katanya pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan dua bangunan iaitu Selangor Mansion dan Malayan Mansion membabitkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan dikenakan PKPD bermula semalam.

Terdahulu, Menara Plaza City One terlebih dulu menjalani PKPD sejak 31 Mac lalu sehingga 13 April ini.

Ismail Sabri berkata, beliau berharap penghuni warga asing terdiri dari India, Pakistan dan Bangladesh itu memberikan kerjasama sepanjang PKPD memandangkan sampel ujian pengesanan koronavirus (Covid-19) masih dijalankan.

"Di Menara Plaza City One sahaja sebanyak 30 kes positif direkodkan. Jumlah kes ini dianggap tinggi bagi satu bangunan. Saya harap penduduk di situ dapat memahami bahawasanya usaha ini sangat serius.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah berjumpa duta serta wakil duta negara terlibat dan beri jaminan untuk kongsi perkembangan dari semasa ke semasa kerana melibatkan lebih 5,000 rakyat negara itu yang perlu diuruskan dengan cara sebaik mungkin," katanya.

Katanya, sistem penyampaian dan hebahan pelbagai bahasa asing akan dilakukan bagi memastikan mesej PKPD sampai kepada mereka.

"Kita perlu ikut prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan (KKM), dalam masa sama kita juga memahami soal kebajikan dan keperluan penghuni.

"Itu hanya dapat dilakukan jika mendapat kerjasama mereka. Jika mereka ada masalah, mereka boleh dapatkan bantuan daripada petugas yang berada di sana secara 24 jam," katanya.