Langkah PKP wajar diteruskan

Pemandangan dari udara di Plaza Tol Jalan Duta di kedua-dua arah yang kelihatan lengang ketika tinjauan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan Covid-19 di negara ini. - Foto Bernama
Pemandangan dari udara di Plaza Tol Jalan Duta di kedua-dua arah yang kelihatan lengang ketika tinjauan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan Covid-19 di negara ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sepanjang dua minggu lalu, Malaysia sudah menyaksikan peningkatan jumlah kes jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) yang agak tinggi sebanyak 2,495 kes dengan jumlah kumulatif setakat semalam adalah 4,119 kes.

Peningkatan jumlah kes lebih 50 peratus itu sudah pasti mengundang keresahan banyak pihak meskipun Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan usaha melandaikan lekuk epidemik dengan kaedah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu mula menampakkan kejayaan.

Menyedari keperluan memutuskan rangkaian penularan Covid-19 dilaksanakan kerajaan dengan berkesan, sebahagian besar rakyat negara ini mengakui kewajaran kerajaan meneruskan PKP selepas 14 April ini demi keselamatan Malaysia.

Dari kiri: Lee Lam Thye, Azrena Abdul Karim dan Dr Zubaidi Ahmad
Dari kiri: Lee Lam Thye, Azrena Abdul Karim dan Dr Zubaidi Ahmad

Hakikat itu diakui Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye yang berpandangan PKP perlu diteruskan sehingga kerajaan dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa risiko penularan kembali pandemik Covid-19 tiada lagi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keputusan menghentikan pelaksanaan PKP tidak boleh dibuat hanya setelah tiada lagi kes jangkitan Covid-19 direkodkan KKM.

“Sekiranya inisiatif sedemikian diambil, PKP pastinya akan dilaksanakan dalam tempoh lama kerana usaha kerajaan memulihkan sepenuhnya kes Covid-19 perlu mengambil masa berbulan-bulan.

“Saya fikir kerajaan perlu diberi kepercayaan untuk memutuskan tempoh waktu bersesuaian bagi menghentikan PKP, namun buat masa kini PKP perlu diteruskan demi keselamatan rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Bagi Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, kebimbangan berlaku ledakan gelombang penularan susulan Covid-19 menjadi faktor utama kewajaran kerajaan meneruskan PKP selepas 14 April ini.

Bagaimanapun, beliau menyeru kerajaan tidak mempertimbangkan perlanjutan tempoh PKP terlalu lama sehingga menjejaskan aspek kesejahteraan rakyat terutama soal periuk nasi mereka.

“Kalau boleh, kerajaan membenarkan beberapa kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk meneruskan aktiviti menjana pendapatan, namun ia perlu dirangka secara berhati-hati,” katanya.

Dari kiri: Mohd Azmi Abdul Hamid dan Amrahi Buang
Dari kiri: Mohd Azmi Abdul Hamid dan Amrahi Buang

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad.

Menurutnya, dalam keadaan penularan wabak yang masih dikategorikan menaik, pelaksanaan PKP wajar diteruskan demi keselamatan rakyat secara menyeluruh.

“Saya sebenarnya tidak melihat sangat tentang berapa banyak kes yang sembuh atau discaj setiap hari kerana kita bimbang ramai lagi masyarakat yang positif Covid-19 tetapi tidak dikesan atau mereka tidak tampil untuk menjalani saringan.

“Jadi, kalau PKP ini tidak dilanjutkan kita bimbang kes positif akan bertambah khususnya melibatkan kes import kerana ramai rakyat Malaysia yang baru pulang bercuti atau bekerja dari luar negara,” katanya.

Kelonggaran

Dalam pada itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi turut bersetuju sekiranya PKP dilanjutkan tetapi ia perlu memberi kelonggaran di kawasan yang dikategorikan zon hijau atau bebas positif pandemik itu.

“Secara asasnya saya setuju PKP perlu dilanjutkan tetapi dalam masa yang sama kerajaan juga perlu mengambil kira kesan ekonomi yang dihadapi rakyat khususnya bagi penduduk luar bandar yang bebas wabak tersebut.

“Kerajaan perlu mengambil jalan tengah dengan memberi tumpuan di kawasan merah atau paling berisiko supaya kita dapat menghalang penularan wabak itu daripada menjangkiti zon hijau.

“Dalam masa yang sama rakyat juga perlu sentiasa mematuhi arahan dengan menjaga kebersihan iaitu kerap membasuh tangan dan juga mengamalkan penjarakkan sosial,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang, berdasarkan perkembangan semasa, adalah wajar PKP dilanjutkan demi memastikan rantaian wabak itu diputuskan secara efektif.

“Kita bimbang jika PKP dihentikan wabak ini akan menular dan tidak mustahil ia akan menjadi lebih teruk.

“Jadi adalah wajar PKP diteruskan tetapi kerajaan juga perlu merangka SOP yang lebih sesuai dengan mengambil kira semua perkara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Restoran Hakim di Shah Alam, Datuk Hakimsa Abdul Karim bersetuju sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan demi keselamatan rakyat Malaysia.

Dari kiri: Hakimsa Abdul Karim dan Dr Zamberi Sekawi
Dari kiri: Hakimsa Abdul Karim dan Dr Zamberi Sekawi

“Walaupun keadaan ketika ini dilihat agak stabil dengan jumlah pesakit yang pulih melebihi 1,000 orang, namun kita bimbang kerana setiap hari kes baharu sentiasa muncul.

“Jadi dengan pelanjutan PKP ini, kita bukan sahaja mampu mengurangkan kes baharu bahkan juga menghentikan rantaian jangkitan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi arahan PKP dan duduk di rumah. Bagaimanapun, kerajaan kena menilai juga kesan ekoonomi dan perniagaan daripada peraturan ini,” katanya.

Pensyarah Kanan Program Eko-Teknologi, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam, Azrena Abdul Karim pula berharap bilangan kes positif Covid-19 dapat dikurangkan sekiranya tempoh PKP hendak dilanjutkan.Katanya, walaupun ketika ini ramai yang berharap tempoh PKP dapat ditamatkan, namun sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara semua pihak perlu melihat kepada keutamaan kerajaan dalam menyelamatkan nyawa rakyat.

“Jadi perlanjutan tempoh PKP adalah satu-satunya cara untuk kita pastikan bahawa rakyat Malaysia akan selamat dan kembali hidup aman sejahtera sebagaimana sebelum ini,” katanya.