X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 142 kes baharu di Singapura

Kementerian Kesihatan Singapura hari ini melaporkan 142 kes positif baharu Covid-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan 1,623 kes - Foto AFP
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 142 kes baharu jangkitan Covid-19 di Singapura, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 1,623 di republik itu.

Sebanyak 40 daripada kes baharu itu mempunyai kaitan dengan kluster di asrama pekerja asing, 28 dikaitkan dengan kluster bukan asrama atau kes-kes lain sementara 72 lagi setakat ini tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes dan dua kes dari luar

"Setakat hari ini, jumlah kes positif daripada tiga kluster yang diwartakan sebagai kawasan isolasi, S11 Dormitory @ Punggol, Westlite Toh Guan Dormitory dan Toh Guan Dormitory, ialah 179," kata MOH dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dua lelaki rakyat Malaysia berusia 30 dan 40 tahun, adalah sebahagian daripada 72 kes tempatan yang tidak berkaitan dengan mana-mana kes dan masing-masing kini berada di dalam wad Hospital Besar Singapura dan Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

Bagi kes daripada sektor penjagaan kesihatan awam, MOH berkata, terdapat satu kes melibatkan seorang juruteknik berusia 31 tahun di Hospital Besar Ng Teng Fong.

Mengenai perkembangan terkini kes yang disahkan, kementerian itu berkata, 29 lagi kes jangkitan Covid-19 telah didiscaj dari hospital atau fasiliti isolasi komuniti, menjadikan jumlah mereka yang pulih sepenuhnya kepada 406.

Daripada 669 kes yang disahkan dan masih lagi di hospital, kebanyakan daripada mereka adalah stabil atau beransur pulih sementara 29 lagi kritikal dan berada di unit rawatan rapi.

Setakat ini, Singapura merekodkan enam kematian akibat komplikasi daripada jangkitan Covid-19.

Menurut MOH, seorang rakyat India berusia 32 tahun yang merupakan kes ke-1,604, meninggal dunia di kediamannya pada 8 April.

Terdahulu, MOH berkata pemegang Pas Jangka Panjang itu telah menjalani ujian Covid-19 di NCID pada 7 April dan dinasihatkan supaya berada di rumah sementara menanti keputusan ujian.

Hasil X-Ray di dadanya menunjukkan dia tidak mengalami pneumonia dan mangsa disahkan mengalami jangkitan Covid-19 selepas kematiannya.

“Siasatan masih berjalan bagi mencari punca kematian,” kata MOH. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus