X

Kindly register in order to view this article
!

30 hari kerajaan Perikatan Nasional

A
A

JIKA ingin mengukur prestasi sesebuah kerajaan, langkah yang paling mudah adalah dengan melihat penerimaan rakyat di setiap lapisan masyarakat.

Begitulah juga halnya untuk kita mengukur pencapaian 30 hari kerajaan Perikatan Nasional pada April 2020 ini. Uniknya, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini mengambil alih tampuk kekuasaan dalam keadaan kita berhadapan bukan satu atau dua krisis tetapi sebaliknya tiga krisis serentak iaitu krisis politik, krisis ekonomi dan juga krisis pandemik Covid-19.

Lalu tentulah bukan tugas mudah untuk mengharungi kesemua krisis ini dan dalam masa yang sama mendapatkan sokongan rakyat di setiap kategori pendapatan.

Takdir ALLAH jua, tiada sesiapa yang dapat menafikan bahawa kerajaan Perikatan Nasional berjaya menyesuaikan diri dengan begitu cepat dan meraih sokongan rakyat umum.

Pastinya, hal itu berkait rapat dengan tiga langkah kritikal yang diambil oleh Muhyiddin. Pertama, sebaik sahaja mengambil alih kuasa di Putrajaya, beliau dengan tegas dan jelas menyatakan bahawa beliau ialah Perdana Menteri untuk semua rakyat tanpa mengira ideologi dan parti politik, kaum, etnik dan juga agama.

Beliau bahkan tidak berkonfrontasi dengan mana-mana pihak sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi sebaliknya memberi tumpuan penuh untuk menstabilkan politik dan ekonomi negara.

Wibawa

Muhyiddin tidak sekadar beretorik, sebaliknya membentuk Kabinet dengan gabungan tokoh teknokrat yang berwibawa seperti Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Menteri Ekonomi dan Datuk Seri Dr Zulkifli al-Bakri sebagai Menteri Agama.

Hasilnya, kita dapat melihat bagaimana siri pakej rangsangan ekonomi dengan segera diumumkan dan mendapat sokongan rakyat.

Lihat sahaja bagaimana rakyat di peringkat menengah dan rendah menerima impak serta-merta daripada pakej ini: RM1,600 kepada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan; RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001-RM8,000; RM800 kepada individu bujang 21 tahun ke atas berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan; bantuan prihatin tunai RM250 kepada individu bujang 21 tahun ke atas berpendapatan RM2,001-RM4,000 sebulan; bantuan RM200 kepada pelajar pengajian tinggi; elaun khas RM600 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan; elaun khas RM200 sebulan kepada tentera, polis, kastam, pertahanan awam, RELA; bantuan RM500 kepada 1.5 juta penjawat awam termasuk yang bekerja secara kontrak Gred 56 ke bawah; RM250 kepada lebih 850,000 pesara kerajaan; bantuan RM500 kepada pemandu e-hailing.

Bagi mengharungi Covid-19 pula, peruntukan berjumlah RM500 juta disalurkan kepada Kementerian Kesihatan di samping peruntukan tambahan RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid-19.

Kerajaan juga terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani, penternak dan nelayan termasuk RM100 juta bagi menyediakan tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman.

Peruntukan bagi program subsidi upah pula dinaikkan untuk membantu para majikan. Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 untuk maksimum 200 orang pekerja. Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja. Syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja.

Berdasarkan prestasi semasa, kerajaan Perikatan Nasional lulus cemerlang untuk 30 hari yang pertama.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus