Rakyat jadi penentu strategi

A
A
A

MELIHAT kepada situasi penularan koronavirus (Covid-19) di negara kita, telah tiba masanya fasa ‘perang’ terhadap langkah-langkah memerangi wabak itu diperketatkan khususnya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian virus tersebut.

Pasukan keselamatan perlu diberi kepercayaan untuk bertindak lebih keras dalam menguatkuasakan PKP fasa kedua bagi memastikan seluruh rakyat wajib mematuhi arahan yang ditetapkan dan bukan bersikap sambil lewa.

Ia juga sejajar dengan pandangan Kementerian Kesihatan bahawa baki dua minggu PKP dapat diperketatkan lagi dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Ini berikutan fasa pertama pelaksanaan perintah tersebut memberi kesan apabila dapat melandaikan graf penularan wabak berkenaan.Sehingga 31 Mac lalu, pihak polis dan tentera mengadakan sebanyak 1,547 sekatan jalan raya dan melakukan pemeriksaan ke atas 383,488 kenderaan.

Polis, misalnya, melakukan sebanyak 22,586 pemeriksaan mengejut. Sebanyak 165 individu telah dituduh, enam daripada mereka telah dijatuhi hukuman denda atau penjara.

Ketika ini, strategi kerajaan juga lebih agresif apabila melaksanakan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Konsepnya seakan-akan Rancangan Briggs semasa Darurat di Tanah Melayu pada tahun 1950-an.

Idea Pengarah Operasi Darurat ketika itu, Sir Harold Briggs ialah menempatkan setinggan Cina ke kampung-kampung baharu untuk menyekat bekalan makanan serta ubat-ubatan daripada sampai ke tangan gerila komunis selain melumpuhkan kegiatan Min Yuen.

Kampung-kampung baharu dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan. Bekalan makanan dicatu tetapi semua kemudahan disediakan seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, bekalan elektrik dan air paip. Strategi itu berjaya memutuskan sokongan massa kepada komunis.

Dalam konteks perang terhadap wabak Covid-19 sekarang, empat kawasan dikenakan PKPD sejak dua minggu lalu iaitu dua kampung di Simpang Renggam dan Kluang di Johor; perkampungan di Sungai Lui, Hulu Langat (Selangor) serta kondominium Menara City One, bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur.

Ancaman

Artikel Berkaitan:

Ketegasan bagaimanapun tidak berkesan kerana perang wabak Covid-19 itu perlu diperkuatkan dengan penyebaran informasi termasuk visual agar orang ramai diberi gambaran bahawa Covid-19 adalah ancaman dan perlu ditakuti. Ini kerana wabak berkenaan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Strategi secara psikologi itu telah dilakukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Jeneral Sir Gerald Templer semasa menyelesaikan ancaman pengganas komunis di Tanjung Malim, Perak.

Pada zaman Darurat, pengganas komunis turut melakukan sabotaj untuk menakut-nakutkan penduduk setempat. Pada 15 Mac 1952, komunis telah merosakkan rangkaian paip bekalan air ke bandar Tanjung Malim. Itu merupakan tindakan sabotaj kali keenam yang memutuskan bekalan air ke bandar itu.

Satu pasukan untuk membaiki kerosakan telah dihantar diketuai Penolong Pegawai Daerah, Michael Codner; jurutera, WH Fourniss bersama 15 orang petugas termasuk anggota polis.

Malangnya, konvoi mereka termasuk Codner terkorban setelah diserang hendap pengganas komunis. Peristiwa serang hendap tersebut mengundang kemarahan Templer lalu beliau mengarahkan perintah berkurung selama 22 jam berikutan kedegilan penduduk Tanjung Malim bekerjasama. Penduduk juga diancam dikenakan tindakan lebih tegas.

Templer kemudian mengarahkan semua penduduk membuat undian sulit bagi memberikan nama-nama mereka yang disyaki pengganas komunis.

Hasilnya, Kampung Simpang Ampat diserbu dan dibakar kerana menjadi kubu musuh.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu