Covid-19: Thailand sahkan 111 kes baharu

Pegawai keselamatan memeriksa suhu badan orang ramai sebelum masuk ke sebuah bangunan di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
Pegawai keselamatan memeriksa suhu badan orang ramai sebelum masuk ke sebuah bangunan di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Thailand mengesahkan 111 kes baharu koronavirus (Covid-19) dan tiga lagi kematian menjadikan jumlah kumulatif positif wabak itu sebanyak 2,369 kes dan 30 kematian di negara itu.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 42 kes adalah antara 76 warga Thailand yang pulang dari Indonesia pada Isnin lepas bagi menghadiri perhimpunan agama di negara itu yang telah dibatalkan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, tiga kematian itu melibatkan warga asing iaitu warga Rusia berumur 48 tahun, India (69 tahun) dan Amerika Syarikat (69 tahun).

"Daripada 2,369 pesakit, terdapat 888 pesakit yang sembuh dan telah pulang ke rumah," katanya dalam taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Thaweesilp berkata, Thailand telah melaksanakan 81,860 ujian Covid-19 sejak penularan wabak itu.

"Ketika ini, terdapat sebanyak 80 makmal Covid-19 di negara ini dan keupayaan untuk ujian RT-PCR ialah 20,000 setiap hari bagi seluruh negara," katanya sambil menambah terdapat cadangan untuk menambah bilangan makmal kepada 110.

Sementara itu, Timbalan jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar, Natapanu Nopakun berkata, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha menegaskan sekali lagi bahawa mengawal wabak Covid-19 adalah agenda nasional yang memerlukan perpaduan nasional dan bantuan daripada semua sektor.

"Dalam hal ini, langkah pemulihan dan bantuan akan disediakan bagi mereka yang terjejas berikutan situasi ini termasuk kepada individu dan perniagaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sekatan pergerakan keluar masuk dilaksanakan di Pattaya bermula jam 2 petang ini (waktu tempatan) selama 21 hari sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19 berikutan peningkatan kes di kawasan itu. - Bernama