19 individu dijel 14 hari kerana melepak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG- Akibat melepak beramai-ramai di dalam sebuah kondominium dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 19 individu dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap 15 lelaki dan dua wanita berumur antara 23 hingga 31 tahun dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap mereka pada 3 April.

Dua remaja perempuan berumur 17 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama. Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman mereka sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 14 Mei.

Mereka dibebaskan dengan jaminan RM500 dan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di sebuah unit di Kondominium Amerin, Taming Jaya, di sini, pada 12.35 tengah hari, 3 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 11 (1) peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, mengambil kira kesemua mereka hanya berkumpul beramai-ramai untuk ‘lepak minum’ tanpa sebarang alasan munasabah.

“Kes ini juga telah menjadi tular di media sosial kerana keengganan mereka untuk mematuhi PKP. Mereka ini juga dilihat sengaja mencabar undang-undang negara dan usaha kerajaan untuk memerangi wabak koronavirus (Covid-19) ini,” katanya

Artikel Berkaitan:

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pihak polis telah menerima maklumat daripada orang awam menyatakan bunyi bising datang dari sebuah unit kondominium di sini.

Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati 15 lelaki dan empat wanita termasuk dua remaja bawah umur gagal memberikan alasan munasabah tujuan berkumpul dan berada di luar rumah masing-masing, sebelum bertindak menahan mereka.

Sementara itu, di mahkamah sama enam lelaki berumur 34 hingga 48 tahun turut dipenjara 14 hari atas kesalahan berada di kawasan jangkitan wabak tanpa alasan munasabah dan penjara 14 hari kerana minum minuman keras di tempat awam.

Muhammad Noor Firdaus memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap pada 2 April lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Taming Sari 1, di sini, pada 11.30 malam, 2 April lepas dan bagi pertuduhan minum minuman keras, mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250 atau penjara sehingga 14 hari.

Ketika memohon hukuman ringan, kesemua mereka yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), R. Kirthiraj memohon hukuman denda minimum atas alasan mereka menyesal dengan perbuatan mereka dan enam hari direman telah memberi kesedaran kepada mereka.

Bagaimanapun, Norhana memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan kesemua tertuduh.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Daerah Kajang telah membuat pemantauan di lokasi kejadian dan ternampak sekumpulan lelaki sedang duduk berkumpul dan minum minuman keras.-Bernama