SMK Bukit Kuang perlu RM250,000 siapkan surau

Wan Mohd Salleh (dua, kiri) memberi penerangan mengenai projek pembinaan surau SMK Bukit Kuang kepada Nor Ashikin (tengah).
Wan Mohd Salleh (dua, kiri) memberi penerangan mengenai projek pembinaan surau SMK Bukit Kuang kepada Nor Ashikin (tengah).
A
A
A

BUKIT KUANG - Kira-kira RM250,000 diperlukan bagi menyiapkan projek pembinaan surau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang.

Pengetua Cemerlang SMK Bukit Kuang, Wan Mohd Salleh Wan Ismail berkata, setakat ini projek pembinaan surau itu baru 20 peratus siap.

Menurutnya, surau itu amat diperlukan kerana sejak sekolah tersebut dibuka, pelajar dan guru terpaksa menggunakan kelas yang ditukar menjadi surau sementara untuk menunaikan solat dan mengikuti aktiviti agama.

"Surau yang sedang dibina ini dianggarkan mampu menampung keseluruhan 650 pelajar dan 65 guru sekolah ini.

"Dana yang diperlukan itu bukan sahaja untuk siapkan pemasangan struktur binaan surau tetapi ia juga untuk pemasangan bekalan elektrik, air serta untuk pembelian karpet, alat siar raya dan lain-lain kelengkapan," katanya.

Pembinaan surau sekolah itu turut menarik perhatian Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kemaman, Nor Ashikin Omar yang datang meninjau perkembangan projek.

Wan Mohd Salleh berkata, jika siap projek itu ia bakal memberi satu kemudahan baharu kepada pelajar dan guru sekolah terbabit.

"Kita harapkan surau ini boleh disiapkan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini kerana kelas yang dijadikan sebagai surau sementara sepatutnya digunakan untuk pembelajaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, beliau sangat mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi mempercepatkan proses pembinaan surau berkenaan.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Rakyat bernombor 110401002362 atas nama Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Bukit Kuang (Tabung Surau).