Vanidah Imran 'think tank' politik Malaysia

Suri (kanan) lakonan Vanidah Imran dilihat sebagai ‘think tank’ dalam filem Daulat. - Foto Instagram Imran Sheik
Suri (kanan) lakonan Vanidah Imran dilihat sebagai ‘think tank’ dalam filem Daulat. - Foto Instagram Imran Sheik
A
A
A

FILEM Daulat yang menjadi bualan hangat sejak 6 April lalu dilihat terus mendapat sambutan baik daripada penonton sehingga ke hari ini.

Sejak disiarkan di Iflix, filem arahan Imran Sheik tersebut menjadi ‘trending’ di laman sosial Twitter yang rata-ratanya memperkatakan mengenai kejayaan penyampaian mesej menerusi filem berkenaan.

Penampilan pelakon tanah air yang tidak asing lagi seperti Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Jasmine Suraya, Cristina Suzanne dan Zul Amir yang berjaya mengemudi watak masing-masing menjadi faktor kejayaan filem tersebut.

Filem ini mengisahkan senario kehidupan figura politik dalam mengukuhkan hegemoni parti politik mereka dengan memenangi pilihan raya dan terus memegang tampuk kuasa.

Parti Politik MUNA yang telah diberi mandat menjadi kerajaan beberapa dekad lamanya di Malaysia akhirnya kalah kepada parti politik lawan iaitu Wawasan.

Parti Politik Wawasan merupakan parti yang diterajui oleh orang yang lebih lama dan berpengalaman di dalam permainan politik diterajui oleh Datuk Jalaluddin Hassan yang memegang watak Perdana Menteri.

Parti Politik MUNA yang diterajui oleh Hassan, watak yang dikemudi oleh Tony Eusoff bersama timbalannya Suri, watak yang dipegang Vanida Imran sebagai ‘master mind’ dalam permainan politik ini.

Setelah kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU), Hassan dan Suri menyusun strategi bagi merebut kembali takhta mereka dalam PRU yang akan datang.

Artikel Berkaitan:

Suri memainkan peranan yang cukup besar sebagai ‘think tank’ dalam filem ini. Setiap strategi yang disusun oleh MUNA dan Hassan akan melepasi pandangannya terlebih dahulu.

Suri bijak dalam memanipulasi situasi dan menggunakan media. Apa jua cara Suri sanggup gunakan agar MUNA kembali berkuasa. Watak Suri sangat penting sebagai pengatur strategi perang ‘political games’ ini.

Jika dilihat dengan pandangan abstrak, watak-watak yang dimainkan dalam filem ini memainkan peranan yang cukup besar. Dari segi gaya pembawakan dan penampilan mereka akan membuatkan penonton cuba mengaitkan mereka dengan figura politik yang benar-benar wujud dalam realiti politik Malaysia hari ini.

Daulat dibintangi Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Jasmine Suraya, Cristina Suzanne dan Zul Amir yang berjaya mengemudi watak masing-masing menjadi faktor kejayaan filem tersebut.
Daulat dibintangi Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Jasmine Suraya, Cristina Suzanne dan Zul Amir yang berjaya mengemudi watak masing-masing menjadi faktor kejayaan filem tersebut.

Ia mungkin kedengaran seperti banyak persamaan babak filem dengan apa yang berlaku di Malaysia hari ini namun terdapat banyak lagi ‘plot twist’ di luar jangkaan penonton yang berlaku di dalam filem tersebut.

Tony Eusoff dalam satu temubualnya berkata, beliau pada awalnya ada juga memikirkan risiko filem itu mungkin tidak dapat ditayangkan kerana kandungannya, namun melihat kepada kesungguhan Imran Sheik, cara Imran membuat pelan dan strategi dia mula yakin padanya.

“Imran adalah seorang usahawan dan dia banyak bercakap tentang perniagaan dan apabila orang bercakap seperti itu, anda hanya perlu yakin,” katanya.

Berbalik kepada filem, kesemua babak yang mengambil tempat di Malaysia membenarkan daya imaginasi penonton melangkah lebih jauh.

Penonton dapat mengaitkan isu-isu yang dibangkitkan dalam filem tersebut dengan isu yang benar-benar berlaku di negara kita hari ini.

Ton warna gelap yang digunakan sepanjang jalan cerita menambahkan lagi ‘rencah’ filem ini. Ia memberikan ‘feel’ secara langsung ke dalam minda penonton tentang jalan cerita politik yang agak kotor dan licik ini.

Watak yang dibawa masing-masing mempengaruhi antara satu sama lain. ‘Domino effect’ yang dimainkan oleh watak-watak dalam filem ini dilakonkan dengan begitu baik sekali kerana satu watak saling mempengaruhi watak yang lain dan saling berkaitan.

Laras bahasa yang digunakan turut memainkan peranan dalam membentuk persepsi mengenai kelas lapisan masyarakat yang wujud hari ini.

Apa yang paling tidak dijangkakan dalam filem ini adalah kesudahan jalan ceritanya. Filem ini lengkap jalan ceritanya namun turut meninggalkan kesan terakhir kepada penonton.

Senang cerita, akan ada persoalan yang ‘terapung-apung’ di dalam minda penonton sebaik sahaja selesai menonton filem ini.

Buat mereka yang masih belum menonton, filem ini perlu masuk ke dalam senarai anda. Ia bukan sahaja sebuah filem buat penggemar politik semata-mata, tapi ia adalah filem yang akan membuatkan anda berfikir. Filem ini juga pastinya membuat anda ternganga. Jangan lupa menonton!