Covid-19: Perak perlu tumpu urus krisis

Ahmad Faizal (hadapan, tengah) bersama Saarani (hadapan, dua dari kiri) dan exco-exco kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri bergambar sebelum mengadakan mesyuarat exco kali pertama di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Ahmad Faizal (hadapan, tengah) bersama Saarani (hadapan, dua dari kiri) dan exco-exco kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri bergambar sebelum mengadakan mesyuarat exco kali pertama di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Semua anggota pentadbiran kerajaan Perak perlu memberikan tumpuan bagi menguruskan negeri ketika krisis koronavirus (Covid-19) yang melanda ketika ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Saraani Mohamad berkata, exco-exco kerajaan negeri yang dilantik perlu menyedari pelantikan mereka itu datang bersama tanggungjawab yang cukup berat.

Menurutnya, kesungguhan dan komitmen yang jitu amat diperlukan ketika negara sedang bergelut dengan penularan wabak Covid-19.

"Dalam situasi yang cukup mendesak ini, menjadi harapan rakyat agar barisan pentadbiran kerajaan negeri bersifat lebih responsif dan inklusif dalam bertindak.

"Kurangkan politiking dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas sebagai anggota kerajaan dalam mengurus negeri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, fenomena ekonomi terhenti secara mendadak memberi impak yang cukup besar kepada sektor utama negara.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19 mengakibatkan gangguan terhadap perdagangan, rantaian bekalan, pengeluaran, pelancongan dan sektor penting yang lain.

"Dalam konteks Perak, perlu diingatkan bahawa tiga sektor penting yang selama ini memacu enjin ekonomi negeri iaitu sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian turut berdepan impak dan kejutan.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya, perkara ini akan menjadi antara agenda yang akan diberi perhatian oleh barisan kepimpinan kerajaan negeri selain tumpuan khusus bagi membantu golongan rakyat yang terkesan," katanya.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan tujuh portfolio exco kerajaan negeri yang baharu dilantik.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal Azumu hari ini turut mempengerusikan Mesyuarat Exco kali pertama di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini selepas kerajaan baharu Perikatan Nasional dibentuk.