Perdagangan haram masih berleluasa ketika PKP

Rokok seludup yang berjaya dirampas dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.
Rokok seludup yang berjaya dirampas dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sekatan perjalanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pemeriksaan lebih ketat pihak berkuasa di pusat pemeriksaan sempadan dan jalan masuk ke negara ini seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan terhadap rantaian bekalan dagangan haram di Malaysia.

Pengarah Urusan Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan (RTBA), Heath Michael berkata, maklum balas daripada industri dan agensi penguatkuasaan menunjukkan bahawa dagangan haram di Malaysia kekal tinggi kerana pihak sindiket dan penyeludup menggunakan kaedah inovatif untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

Katanya, dalam kes dagangan haram tembakau di Malaysia, kajian semasa tempoh PKP mendapati permintaan terhadap rokok seludup semakin bertambah apabila pengilang sah tidak dibenarkan mengedar rokok kerana tidak dianggap barangan asas penting.

“Sindiket menggunakan e-Dagang terutama e-hailing dan platform media sosial serta kurier bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah. Trend ini membimbangkan kerana akan menggagalkan agenda kesihatan negara yang menggalakkan rakyat supaya berhenti merokok semasa PKP dan pada masa sama, menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan,’’ tambah Michael.

Merujuk Laporan Kajian RTBA bertajuk Illicit Tobacco in the Asia-Pacific Region: Causes and Solutions yang dikeluarkan semalam, Michael berkata, kajian menunjukkan bahawa Malaysia kerugian lebih daripada RM5 biion setahun akibat penyeludupan rokok haram.

"Malaysia bersama dengan China, Vietnam, Indonesia, Singapura telah dikenal pasti sebagai vektor utama dalam penyebaran tembakau haram di seluruh rantau ini. Kami mendapati bahawa tembakau haram, kebanyakan kilang berada di China, diangkut ke Malaysia sebelum diedar ke seluruh Asia, merangkumi Australia.

"Kami menjangkakan rantaian bekalan trans-nasional ini kekal teguh kerana kumpulan jenayah terancang multinasional ini bijak mencari kaedah untuk mengeksport dan mengimport rokok haram semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Michael berkata, baru-baru ini, Biro Hasil Dalam Negeri Filipina telah merampas lebih sejuta kotak rokok haram di provinsi Pampanga, Luzon tengah yang sepatutnya diangkut menggunakan kapal ke Malaysia bagi kegunaan tempatan selain dieksport ke negara lain

Artikel Berkaitan:

"Dagangan haram tembakau berterusan mengakibatkan kerugian hasil yang besar kepada kerajaan dan perniagaan sah di rantau Asia Pasifik.

“Dari segi perolehan sahaja, jumlah keseluruhan kerugian cukai dianggarkan di 19 pasaran yang dipantau di rantau ini adalah melebihi AS$5.8 bilion (RM25.3 bilion) pada 2017, dengan hampir 50 peratus daripadanya hanya berlaku di dua pasaran iaitu Australia dan Malaysia,’’ katanya.

Beliau berkata, laporan terbaharu menunjukkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia maklum mengenai situasi semasa dan telah berikrar untuk membanteras penjualan secara dalam talian rokok haram semasa PKP.

"Ini jelas suatu langkah yang tepat, meskipun keberkesanannya belum dapat dipastikan. Kerajaan Malaysia boleh melakukan banyak lagi untuk membasmi dagangan haram tembakau dengan meneguhkan lagi laluan sempadan yang rapuh; meningkatkan kerjasama antarabangsa dan perkongsian perisikan melangkau sempadan dan menangani soal jurang harga antara tembakau sah dengan yang haram.

“Menghapuskan segmen dagangan haram ini sama sekali akan segera mengembalikan RM5 bilion setahun kepada Kerajaan Malaysia. Jumlah ini boleh membiayai pakej rangsangan berjumlah RM10 bilion untuk perusahan kecil dan sederhana yang diumum oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,’’ katanya.