Kelantan kecualikan bayaran sewa dua bulan


Ahmad Yakob ketika bercakap kepada pemberita hari ini.
Ahmad Yakob ketika bercakap kepada pemberita hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan pengecualian bayaran sewa premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun kerajaan selama dua bulan bermula bulan ini.

Menteri Besar Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, Persidangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini bersetuju membuat ketetapan bagi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Negeri Kelantan melibatkan beberapa perkara.

Menurutnya, antara yang diputuskan ialah kerajaan negeri akan menanggung kos pengecualian bayaran sewaan selama dua bulan melibatkan peniaga kecil sahaja.

“Pengecualian dua bulan ini tidak termasuk pasar raya, bank dan premis makanan seperti KFC dan McDonald's,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di JKR 10 hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengumumkan bantuan 'one-off' sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri Kelantan dan RM250 kepada kakitangan lantikan politik.

"Selain itu, elaun khas sebanyak RM300 secara 'one-off' diberikan kepada petugas barisan hadapan kerajaan negeri dan PBT dalam sektor pembersihan, penguatkuasaan termasuk penghulu, penggawa dan kakitangan pejabat penggawa.

“Pembayaran ini akan dibuat secepat mungkin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak RM29 juta diperuntukkan bagi kesemua bentuk bantuan yang dilaksanakan bagi membantu rakyat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Turut diputuskan hari ini ialah peruntukan khas kali ketiga sebanyak RM20,000 sebagai bantuan rakyat akan disalurkan kepada semua Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kerajaan negeri juga memutuskan pemberian bantuan belanjawan mengurus kepada semua PBT bagi mengimbangi jangkaan defisit PBT disebabkan impak pengecualian sewa premis serta operasi tambahan Covid-19 yang ditanggung," katanya.