X

Kindly register in order to view this article
!

'Rangka semula kemasukan pekerja Malaysia dari Singapura'

Laporan Sinar Harian semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor didesak merangka semula proses kemasukan pekerja Malaysia dari Singapura dengan mengambil langkah pengasingan di pusat kuarantin atau berunding dengan kerajaan Singapura yang mengekalkan rakyat Malaysia di sana.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pekerja berkenaan seharusnya dikuarantin di republik tersebut dan selepas itu jika sihat, mereka dibenarkan pulang ke negara ini dan bukan dengan membenarkan pekerja Malaysia balik serta menjalani kuarantin sendiri di rumah.

Menurutnya, kenyataan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan yang dikeluarkan semalam meminta rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk sekadar kuarantin diri selepas pulang adalah perkara yang tidak berasas dan amat dikesali.

"Ini bertentangan dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang mengeluarkan pandangan bahawa rakyat Malaysia terbabit perlu dikekalkan berada di Singapura bagi tempoh dua minggu. Pihak kami bersetuju dengan pandangan disuarakan itu.

"Kerajaan Johor tidak sepatutnya mengambil langkah seolah-olah lepas tangan dalam isu ini kerana ia membabitkan soal kesihatan dan permasalahan yang dihadapi rakyat.

"Kenyataan daripada kerajaan Johor ini boleh dikatakan seperti tindakan sambil lewa dalam menguruskan permasalahan rakyat Johor khususnya dalam isu yang sedang berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja Malaysia di Singapura wajib kuarantin di rumah

Katanya, kerajaan negeri seharusnya membuat persediaan awal dalam mengendalikan kes itu seperti mengadakan rundingan segera dengan pihak kerajaan Singapura atau memohon agar kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menyelesaikannya.

Beliau mendakwa, kenyataan Vidyananthan mengelirukan lagi keadaan dengan sebahagian besar rakyat mulai panik sekali gus akan membawa kepada permasalahan lain yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

"Kekhuatiran kami adalah berdasarkan kes-kes yang sebelum ini berlaku di mana terdapat jangkitan wabak ini seperti di Sarawak yang mengambil langkah sama iaitu kuarantin sendiri di kediaman masing-masing dan akhirnya membawa kepada penularan koronavirus (Covid-19) di negeri tersebut.

"Sehingga hari ini pihak kami dimaklumkan terdapat 12,000 pekerja rakyat Malaysia dari republik itu yang telah masuk ke dalam negara dan kerajaan Johor perlu segera mendapatkan maklumat mereka untuk disaring atau dikuarantin di pusat-pusat kuarantin dalam kadar segera," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus