Covid-19: Tayangan lebih 16 filem antarabangsa di GSC dibatalkan

 Lebih 16 filem antarabangsa yang dijadual ditayangkan di Golden Screen Cinemas (GSC) di seluruh negara dibatalkan, susulan penutupan pawagam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Lebih 16 filem antarabangsa yang dijadual ditayangkan di Golden Screen Cinemas (GSC) di seluruh negara dibatalkan, susulan penutupan pawagam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 16 filem antarabangsa yang dijadual ditayangkan di Golden Screen Cinemas (GSC) di seluruh negara dibatalkan, susulan penutupan pawagam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif GSC Sdn Bhd, Koh Mei Lee memberitahu Bernama, semua filem itu dijadual ditayangkan sempena edisi ke-19 Festival Filem Perancis bermula 19 Mac hingga 26 April.

Beliau berkata, antara filem itu ialah 'Spread Your Wings', 'The Royal Exchange', 'Prince's Voyage' dan banyak lagi.

Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata, lebih 37 pawagam yang dikendalikan GSC ditutup sebaik PKP dikuatkuasa pada 18 Mac sehingga akhir April.

Ditanya bagaimana pandemik global itu mempengaruhi perniagaan GSC, Mei Lee berkata, tahun ini sangat mencabar kerana kebanyakan filem yang dijadual ditayangkan pada April hingga Jun ditangguhkan.

Selain itu, bukan mudah mengembalikan keyakinan penonton untuk pergi ke pawagam, selepas krisis kesihatan global yang turut mempengaruhi sikap berbelanja pengguna.

"Namun, kami tetap optimis pengguna akan kembali mengunjungi pawagam untuk menikmati pengalaman menonton filem yang lebih mengasyikkan sekali gus membantu kami mengatasi kerugian yang dialami dalam tempoh ini," katanya.

Festival Filem Perancis 2020 sepatutnya diadakan di empat bandar raya iaitu Kuala Lumpur (19 Mac hingga 5 April), Pulau Pinang (9 hingga 19 April), Johor Baharu (16 hingga 19 April) dan Kota Kinabalu (23 hingga 26 April). - Bernama

Artikel Berkaitan: