PKP: Pahang umum sembilan inisiatif baharu

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengumumkan sembilan lagi inisiatif baharu membabitkan peruntukan RM2.15 juta bagi membantu golongan yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Sembilan inisiatif fasa tiga itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 34,376 penerima pelbagai golongan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sembilan inisiatif baharu itu termasuk sumbangan 1,500 kampit beras (5 kilogram) kepada pemimpin masyarakat di 14 kawasan Parlimen di Pahang melibatkan 21,000 orang penerima dengan nilai peruntukan RM304,500.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menghulurkan sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 426 penerima dalam kalangan pemandu pelancong semula jadi Taman Negara, pemandu pelancong biasa dan pemandu bot pelancong Taman Negara dengan nilai peruntukan RM63,900.

“Pada masa sama, sebanyak RM175,000 disediakan bagi membantu 3,500 ketua isi rumah yang menjalani kuarantin di rumah masing-masing bagi kategori pesakit di bawah pemantauan melalui sumbangan barangan keperluan bernilai RM50 di bawah Program Ziarah Prihatin.

“Turut menerima manfaat daripada inisiatif ini, 70 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang melalui sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 (3,500 penerima) dengan jumlah peruntukan RM525,000,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, selain itu, sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 turut disalurkan kepada 62 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baharu (JKKKB) melibatkan 3,100 penerima membabitkan peruntukan RM465,000.

“Prihatin dengan nasib 650 mahasiswa anak Pahang yang kekal tinggal di asrama kampus masing-masing ekoran PKP, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM97,000 untuk bantuan tunai RM150 kepada golongan ini.

Artikel Berkaitan:

“Peruntukan berjumlah RM440,000 turut disediakan bagi sumbangan barangan keperluan bernilai RM200 kepada 2,200 ketua isi rumah di 11 daerah bagi kawasan yang diperketatkan kawalan pergerakan dan sukar mendapatkan bekalan makanan,” katanya.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu juga kerajaan negeri turut menyumbang bantuan pengurusan RM5,000 kepada 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah bagi menguruskan pembekalan dan pengagihan barangan keperluan kepada ketua isi rumah yang menerima bantuan dengan jumlah peruntukan RM55,000.

Sementara itu, katanya, sumbangan RM30,000 disediakan bagi membantu usahawan mikro e-hailing khususnya di Kuantan yang terkesan teruk dengan PKP.

“Dengan sembilan inisiatif terbaharu di bawah fasa tiga ini, dicampurkan 13 inisiatif di bawah fasa satu dan fasa dua sebelum ini, nilai peruntukan untuk kesemua 22 inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri setakat ini sebanyak RM21.4 juta melibatkan lebih 136,074 penerima,” katanya.

Wan Rosdy berkata, beliau turut mengumumkan bayaran pendahuluan RM500 kepada 1,027 imam kariah di seluruh Pahang yang akan dibayar secara berperingkat bermula 9 April ini (esok).

"Bayaran itu sebahagian daripada bayaran khas ‘one-off’ RM1,000 kepada golongan itu yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri 2020 ketika pembentangannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas," katanya.