X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai perubatan hospital, juruteknik TNB mengaku salah ingkar PKP

Seramai 15 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan ingkar PKP dengan menyertai sebuah parti hiburan, 5 April lalu.
A
A

IPOH - Seorang penolong pegawai perubatan di hospital kerajaan dan dua juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) antara 15 individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini terhadap pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyertai parti hiburan di sebuah rumah di Taman Casa Lapangan di sini, Ahad lalu.

Ketiga-tiga mereka berusia 24, 33, dan 38 tahun bersama 12 yang lain termasuk enam wanita membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nabihah Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka terdiri sembilan lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan empat wanita warga Indonesia berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun didapati telah berhimpun di dalam mana-mana kawasan jangkitan bagi maksud kegiatan sosial di sebuah rumah di Jalan Casa Lapangan 2, Taman Casa Lapangan, Ipoh pada jam 2.50 pagi, 5 April lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Peraturan 6 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.

"Tiga daripada mereka adalah kakitangan awam yang merupakan petugas barisan hadapan pada tempoh PKP ini dan kesalahan ini tidak sewajarnya dilakukan.

Seramai 15 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan ingkar PKP dengan menyertai sebuah parti hiburan, 5 April lalu.
Seramai 15 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan ingkar PKP dengan menyertai sebuah parti hiburan, 5 April lalu.

"Mereka sepatutnya lebih peka bahawa perintah dikeluarkan kerajaan ini adalah bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.

Dalam rayuan, kesemua tertuduh diwakili Peguam, Awatif Ahmad Bashir dan Nor Izawani Ahmad Jalaludin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana ada antara mereka telah berkahwin, mempunyai dua isteri, menanggung keluarga dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudiannya mengenakan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Pada prosiding sama, mahkamah turut mengenakan jaminan wang masing-masing sebanyak RM3,000, RM8,000 dan RM10,000 terhadap empat daripada wanita berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dan memiliki dadah jenis ketamin.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 4 Jun depan sementara menunggu laporan kimia.

Mengikut fakta kes, kesemua mereka telah ditangkap semasa sedang berhibur di sebuah bilik tingkat bawah rumah berkenaan oleh anggota yang menjalankan tugas Ops Cantas Covid-19.

Soal siasat dijalankan, kesemua tangkapan telah menyatakan sebab tidak munasabah iaitu berkumpul untuk melepak dan bersembang-sembang.

Serbuan itu turut menemui dadah dipercayai jenis ecstasy dan ketamin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus