X

Kindly register in order to view this article
!

130 individu di Kajang ditahan ingkar PKP

Ahmad Dzaffir (tiga kanan) melihat laluan yang telah ditutup.
A
A

KAJANG – Seramai 130 individu ditahan kerana ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kajang sejak 18 Mac sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussoff berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan sebanyak 52 kes dan seramai 30 individu telah dituduh di mahkamah.

“Kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Sekatan Jalan Raya di Jalan Cheras Batu 14, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pematuhan rakyat terhadap PKP di Kajang, setakat ini pada tahap kira-kira 95 peratus.

“Saya mendapati kenderaan yang masuk ke bandar Kajang pada hari ini semakin berkurangan, orang awam yang melalui jalan ini adalah individu yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara," katanya.

Dalam perkembangan berasingan Ahmad Dzaffir memaklumkan, penambahan tiga sekatan jalan raya, sekali gus menjadikan jumlah sekatan jalan raya di Kajang kepada 10.

“Kita mahu menghadkan perjalanan orang ramai agar mematuhi arahan PKP Fasa ke-2 bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Sukarelawan Malaysia telah melaksanakan penutupan lapan laluan di sekitar Kajang, bermula hari ini.

“Laluan terbabit ialah Jalan Sungai Chua-Susur Terowong KTM, Jalan Reko-MRT, Jalan Cheras- Jalan Timur (depan Masjid Jamek Kajang), Jalan Semenyih-Jalan Low Ti Kok, susur turun ke Jalan TTDI Grove 2/1 dari arah Persiaran Saujana Impian.

"Jalan TTDI Grove 1/1, Persiaran Saujana Impian-Jalan Melor 1, Jalan Sungai Kantan dari arah Desa Jenaris dan dari arah Persiaran Saujana Impian serta sempadan Bandar Seri Putra- Nilai 3,” katanya.

Menurutnya, terdapat laluan alternatif yang boleh digunakan iaitu dari arah Persiaran Saujana Impian dan Lebuhraya Grand Saga bolehlah melalui Jalan Cheras ke Kajang. Sementara yang datang dari arah Sungai Chua boleh melalui Lebuhraya SILK untuk ke Lebuhraya Grand Saga ke Jalan Cheras Kajang.

“Selain itu, orang ramai yang datang dari Jalan Reko boleh melalui Lebuhraya SILK, Jalan Bukit ke Pekan Kajang, Jalan Low Ti Kok, Jalan Timur melalui Jalan Cempaka Kuning, Cempaka Putih, Pekan Kajang dan laluan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Mahkamah Kajang, MPKj, dan Kajang Plaza Medical Centre adalah melalui Jalan Timur dan Cempaka Kuning,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus