X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Amerika Latin wajibkan pakai topeng muka

Ecuador antara tiga negara paling teruk terjejas di Amerika Latin, bersama Brazil dan Chile, melaporkan 3,747 kes dengan 191 kematian.
A
A

MEXICO CITY - Negara Amerika Latin menggesa dan ada sebahagiannya mewajibkan orang ramai memakai topeng muka untuk membendung wabak koronavirus (Covid-19), meskipun pakar di seluruh dunia masih membahaskan mengenai keberkesanannya dalam menghalang jangkitan, lapor agensi berita Xinhua.

Di Chile, seramai 5,116 orang positif Covid-19 dan 43 meninggal dunia, sehubungan itu kerajaan mewajibkan penggunaan topeng muka di semua pengangkutan awam dan swasta.

Di Ecuador, Jawatankuasa Operasi Kecemasan (COE) memutuskan untuk mewajibkan pemakaian topeng muka di tempat awam, kata Menteri Dalam Negeri Maria Paula Romo.

Ecuador antara tiga negara paling teruk terjejas di Amerika Latin, bersama Brazil dan Chile, melaporkan 3,747 kes dengan 191 kematian.

Brazil yang berdepan masalah kekurangan bekalan topeng muka memutuskan tiga bank persendirian terbesar di negara itu, Itau, Bradesco dan Santander bergabung untuk membekalkannya.

Bank berkenaan mengumumkan peruntukan sebanyak 50 juta reals (AS$10 juta) untuk membeli 15 juta topeng daripada pengeluar kecil-kecilan di Brazil.

Brazil melaporkan 13,717 kes dengan 667 kematian, menurut Kementerian Kesihatan.

Garis Panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan memakai 'topeng jika mengalami batuk atau bersin'.

Orang yang sihat pula harus memakai topeng muka jika mereka menjaga seseorang yang mungkin mempunyai virus itu, kata WHO.

"Penggunaan topeng muka yang berkesan apabila ia disusuli dengan mencuci tangan dengan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun." - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus