Bersengkek dahulu untuk senang

A
A

SEMALAM saya ke kedai gunting rambut yang lazim saya kunjungi di Gombak. Saya hairan kerana kedai itu tiada pelanggan. Biasanya apabila saya tiba pada hari biasa, giliran saya sekurang-kurangnya nombor ketiga. Andainya pada hujung minggu dan akhir bulan, pastinya ada lima pelanggan lain sebelum saya. Apabila saya bertanya kepada Khalidass si tukang gunting rambut, mengapa tiada pelanggan? Katanya, sudah beberapa bulan, jumlah pelanggan amat berkurangan.

Saya kata, bukankah semua orang akan menggunting rambut? Mengapa boleh kurang pelanggan? Jawab Khalidass, orang sekarang tidak datang menggunting rambut sebulan sekali. Makin ramai yang jarakkan mengunjungi kedainya dua bulan atau tiga bulan sekali. Malah katanya, dia tidak tahu di mana kanak-kanak sekolah menggunting rambut pada sesi tahun baharu kerana jumlah mereka yang ke kedainya makin sedikit.

Menggunting rambut adalah suatu keperluan. Bila tiba masanya pasti kita akan menggunting rambut. Namun, maklumat dari Khalidass itu menggambarkan juga keadaan kedai-kedai gunting rambut yang lain. Tentulah salon rambut yang memberi perkhidmatan syampu, set rambut, urut kepala dan badan mengalami kekurangan pelanggan.

Apatah lagi jika kita lihat pada gerai dan restoran. Iya, semua orang perlu makan dan akan mengunjungi restoran. Tetapi, menu yang dipilih pelanggan pun tidak pelbagai dan bermewah khususnya untuk makan tengah hari pada hari bekerja. Jumlah mereka yang makan buah potong, makanan untuk alas perut seperti goreng pisang makin bertambah. Membawa bekal makanan dari rumah sudah menjadi trend kembali.

Pada pandangan kasar, kita nampak gerai-gerai, restoran serta kafe dipenuhi pelanggan. Sekali imbas, ia menandakan seolah-olah pelanggan masih berduit. Namun, jika kita rajin menyusur ke medan-medan selera. Kita akan dapati semakin banyak kedai-kedai makan khususnya yang hipster yang tutup perniagaan.

Kita baharu dua minggu melangkah ke tahun 2019. Cakap-cakap di kedai kopi dan media sosial mengatakan yang tahun ini bakal lebih perit daripada tahun yang lalu. Perit kerana wang kita semakin kecil dan harga barangan kian meningkat. Banyak syarikat membuang pekerja, apatah lagi hendak menambah kakitangan. Gaji para pekerja tak naik dan elaun yang ada pula dipotong. Bonus diganti dengan sagu hati, bagi syarikat yang masih mampu.

Bersyukurlah kepada yang masih ada kerja meskipun gaji masih ditakuk lama. Resahnya mereka yang kehilangan kerja atau yang tidak mendapat jawatan meskipun sudah menghantar ratusan emel kepada pelbagai syarikat. Begitu juga kepada yang terpaksa mengambil skim pemberhentian sukarela. Wang pampasan itu, meskipun betapa banyak sekali pun, tidak sama dengan rasa kekitaan dan persaudaraan yang dialami tatkala bekerja beramai-ramai bagai sebuah keluarga besar.

Kini, semua pihak berada dalam kepayahan. Para pekerja, majikan, syarikat dan institusi perkhidmatan dan perusahaan, malah pihak pemerintah juga perlu mengharungi kesukaran ini. Itulah realiti. Dan realiti ini harus didepani dengan berani. Bukan sahaja berani berusaha untuk memperbaiki diri, malah berani untuk mengakui bahawa semua pihak berada dalam kesusahan. Kesusahan yang kita harungi ini adalah realiti. Ia bukannya khayalan. Malah, ia bukannya dibuat-buat untuk menakut-nakutkan sesiapa pun.

Apabila kita lihat apa yang boleh kita beli dengan wang RM50, lima tahun lalu dan apa yang kita dapat beli pada hari ini, ketahuilah bahawa kelegaan kita saban hari kian menjerut. Jika membawa bekal ke tempat kerja itu lebih baik, maka bawalah bekal. Jika, kita patut mengalas perut pada waktu kerja dan makan sampai kenyang di rumah, maka itulah yang praktikal.

Jika makan-makan di luar boleh dikurangkan, maka itulah yang harus dilakukan. Apa sahaja yang boleh dijimatkan harus dijimatkan. Jika ia dinamakan bersengkek, apa salahnya bersengkek kerana buat apa papa asalkan bergaya? Lagi pula bersengkek, berjimat cermat ataupun berbelanja dengan berhemah, walau apa pun namanya ia adalah suatu tindakan yang terpuji. Ia terpuji kerana kita tidak berpura-pura nampak senang lenang.

Orang tua-tua kata, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kesusahan itu sebenarnya adalah suatu latihan kesabaran dan kecekalan hati. Andainya kita depani ia dengan tuntas, kita boleh cekap mengawal diri apabila kesenangan menjelma kembali.

Hidup umpama roda. Senang akan berganti susah dan senang kembali. Semuanya bagai sebuah aliran sungai yang akan mendatang dan pergi. Kesukaran juga akan berlalu dan kesenangan akan kembali. Untuk itu kita perlu memperbetul sikap kita agar sentiasa cekal. Mudah-mudahan apabila kesenangan mendatang semula, kita akan lebih cekap mengurus kejayaan.

Susah dan senang kita inipun dalam keadaan negara yang aman damai. Faktor aman dan damai itu adalah faktor konsisten yang bakal menjamin munculnya sinar di hujung terowong.

* Penulis ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.