Agihan AHB 2.60 sen seunit

Pengagihan pendapatan interim itu akan memberi manfaat kepada 75,000 pemegang unit bumiputera serta 14 institusi bumiputera.
Pengagihan pendapatan interim itu akan memberi manfaat kepada 75,000 pemegang unit bumiputera serta 14 institusi bumiputera.
A
A
A

PELABURAN Hartanah Berhad (PHB) selaku penaja dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dan pengurus dana Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan interim dana AHB sebanyak 2.60 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2020 bagi 500,000 unit pertama kepada setiap pemegang unit.

Jumlah itu terhasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.30 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.30 sen seunit yang mana pengagihan bonus itu disumbangkan oleh PHB selaku penaja dana AHB.

Pengarah Urusan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, pemegang unit institusi yang melebihi 500,000 unit hanya layak bagi pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.30 sen seunit.

“Oleh itu, pengagihan pendapatan interim untuk pemegang unit institusi adalah berjumlah di antara 2.30 sen seunit sehingga 2.60 sen seunit bergantung kepada bilangan unit yang dipegang.

“Pengagihan pendapatan interim ini akan memberi manfaat kepada 75,000 pemegang unit bumiputera serta 14 institusi bumiputera,” katanya.

Jelasnya, pengagihan pendapatan interim AHB itu adalah dikecualikan daripada cukai dan telah dizakatkan serta dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang unit pada 14 April 2020.

Bagi ahli Skim Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula katanya, agihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 KWSP.

“AHB dengan harga tetap RM1 seunit adalah sebuah dana amanah berlandaskan hartanah patuh Syariah dan membolehkan pelabur bumiputera menyertai pemilikan benefisial aset hartanah yang mampu memberi pulangan kompetitif serta dalam aliran pendapatan konsisten.

Artikel Berkaitan:

“Dana ini boleh dilanggan di semua cawangan Maybank, AmBank dan AmBank Islamic di seluruh Negara,” katanya.

Mengulas penularan koronavirus (Covid-19) dan perintah kawalan pergerakan (PKP), beliau berkata, syarikat berkenaan sedang dalam peringkat akhir bagi melaksanakan Rental Relief Programme untuk membantu meringankan beban penyewa yang terjejas di pusat beli-belah serta bangunan lain milik PHB.