Larangan merokok untuk kesejahteraan ummah

A
A

BERMULA pada 2019, penguatkuasaan larangan merokok, sama ada rokok biasa atau pun rokok elektronik, di kebanyakan tempat awam telah dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan. Tindakan ini nyata telah mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Namun, pihak kementerian amat tegas dengan tindakan dan keputusan yang dibuat dalam memelihara kesihatan masyarakat, dan syabas untuk mereka atas keputusan ini.

Matlamat penguatkuasaan merokok ini adalah bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat, di samping untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan amalan gaya hidup sihat serta mewujudkan perasaan hormat-menghormati sesama individu, sama ada perokok mahupun bukan perokok.

Implikasi atau kesan utama daripada tindakan yang diambil ini, iaitu bagi membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda akan dapat dicapai sepenuhnya. Ia adalah satu usaha yang baik dan murni untuk mereka dan generasi keturunannya.

Jika ditinjau dari sudut ilmiah dan saintifik, sememangnya sudah terlalu banyak data dan fakta yang berkaitan dengan bencana dan mala petaka rokok yang sudah diketengahkan.

Malah, di setiap pek kotak rokok yang amat laris jualannya itu pun turut diselitkan banyak maklumat berkaitan keburukan rokok. Rekod yang ada juga menunjukkan pelbagai program dan kempen berhenti merokok seperti kempen “Nafas Baru Bermula Ramadhan” pada tahun 2004 dan kempen ‘Tak Nak’ serta kempen-kempen lain yang telah dilaksanakan. Malahan, merokok telah pun dihukumkan sebagai haram oleh Jawa-tankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1995 lagi.

Sehinggalah terhasilnya sekarang ini arahan larangan merokok di tempat awam yang telah diwujudkan apabila Menteri Kesihatan sendiri, dengan kuasa yang ada padanya telah pun menguatkuasakan arahan larangan tersebut.

Arahan larangan ini wajar disokong dan dilihat secara positif oleh semua pihak, khususnya perokok dan keluarga mereka. Jika dilihat dari perspektif syariah dan ketetapan fatwa, ia amat bertepatan dengan masanya dan kebaikan yang akan terhasil untuk semua orang. Inilah yang dituntut oleh ajaran Islam.

Jika ditinjau kembali, terdapat tiga kategori atau kumpulan perokok iaitu perokok tegar, perokok pasif dan perokok basi. Perokok tegar ialah golongan perokok aktif. Manakala perokok pasif ialah golongan yang tidak merokok, tetapi sering terdedah kepada hiduan asap rokok yang dikongsi oleh perokok tegar. Kategori perokok basi pula ialah individu yang terdedah kepada sisa-sisa asap rokok lama yang masih lagi tertinggal selepas beberapa tempoh serta masih mampu mendatangkan kesan yang sama seperti kesan yang diberikan oleh seorang perokok tegar.

Berdasarkan pemerhatian, golongan perokok tegar ialah kumpulan yang paling berisiko mengalami gangguan mental berbanding kategori lain. Hal ini kerana kegiatan merokok adalah sejenis gangguan yang berkaitan dengan ketagihan, berpunca dari kesan nikotin yang terdapat dalam rokok. Ketagihan pula ialah sejenis gangguan mental.

Justeru, kempen larangan merokok dilihat akan menjadi lebih berkesan sekiranya program rawatan dan pemulihan berkaitan kegiatan menghisap rokok ini turut dikuatkuasakan.

Bagi kategori perokok pasif dan perokok basi, rata-rata terdiri daripada mereka yang tidak merokok pun, tetapi mereka juga sebenarnya adalah perokok secara tidak langsung jika terdedah kepada perokok tegar yang sedang menghembus asap rokoknya.

Kesan yang dialami mereka adalah sama seperti yang dialami oleh perokok tegar. Kesan ini pula diperoleh daripada bahan-bahan kimia beracun yang terdapat di dalam asap rokok dan tembakau serta hasil kimia beracun yang terbentuk akibat dari pembakaran bahan tembakau.

Malah, kita semua telah didedahkan dengan maklumat bahawa terdapat lebih kurang empat ribu bahan kimia beracun ada dalam rokok dan asapnya yang kita semua hidu.

Lebih menakutkan lagi, apabila kandungan bahan kimia beracun ini memberikan kesan epigenetik atau perubahan kepada struktur genetik kita semua akibat daripada kesan bahan-bahan toksik rokok yang kita gemari. Kajian yang telah dijalankan oleh Shweta Ramdas dari Universiti Michigan pada tahun 2017 mendapati bahawa bahan kimia dalam rokok berupaya merosakkan atau mendatangkan kesan mutasi kepada struktur DNA dan kromosom manusia dan kerosakan ini pula akan diwarisi oleh generasi keturunan yang akan kita lahirkan kelak.

Apatah lagi kesannya kepada organ-organ penting tubuh badan kita semua. Sudah pasti kita tidak mahu melahirkan zombi dalam keturunan kita. Tetapi inilah yang akan berlaku dan ia amat bertentangan dengan tuntutan syariah.

Di sinilah letaknya kewajaran diadakan larangan merokok di persekitaran sekeliling kita berada, agar kesan yang dialami oleh perokok tegar itu tidak sama sekali dikongsi oleh kita yang tidak merokok. Semoga tabiat merokok dapat dihentikan mulai sekarang kerana ia adalah yang kita sendiri pilih dan inginkan.

* Khairul Azhar Idris ialah Fellow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.