Nak dapat RM20 sehari pun 'sakit'

Abdul Wahab menyusun barangan dan bersiap untuk menutup kedai jam 11 pagi.
Abdul Wahab menyusun barangan dan bersiap untuk menutup kedai jam 11 pagi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penularan wabak koronavirus (Covid-19) sehingga memaksa kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi tamparan hebat kepada peniaga barangan runcit di Pasar Besar Kedai Payang di sini.

Peniaga, Abdul Wahab Salleh, 72, dari Chendering, Kuala Terengganu berkata, dia sukar untuk mendapat hasil walaupun RM20 sehari sejak penularan wabak itu.

"Nak dapat RM20 pun 'sakit', apatah lagi RM100. Sebab itu saya buka kedai tak lama, daripada 8 hingga 11 pagi sahaja.

"Buka sampai petang pun tak boleh buat apa juga sebab tak ada pelanggan. Perniagaan lumpuh hampir 90 peratus," luah warga emas itu ketika ditemui di lot niaga miliknya, semalam.

Abdul Wahab yang berniaga barangan runcit di Pasar Besar Kedai Payang berkata, dia mengharapkan bantuan kerajaan untuk membantu menampung barangan keperluan harian.

Katanya, dia masih mempunyai tanggungan iaitu isteri, Tuan Esah Ahmad, 66 serta dua anak yang masih tinggal bersamanya.

"Saya tak ada buat kerja lain, hanya berniaga untuk tampung keluarga. Jadi, memang mengharapkan bantuan daripada kerajaan yang disalurkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)," katanya.

Seorang lagi peniaga, Zaiton Besar, 58, yang merupakan ibu tunggal dari Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu berkata, sejak penularan wabak itu, pendapatannya menurun sebanyak 90 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikutkan susah nak dapat pelanggan dalam sehari, sebab tiada orang yang datang ke sini untuk membeli.

"Tetapi, saya cuba nasib buka kedai mudah-mudahan ada yang sudi membeli barangan yang saya jual. Tak beli banyak, sikit pun tak mengapa," katanya yang mula berniaga di Pasar Payang sejak 10 tahun lalu.

Zaiton menitiskan air mata ketika ditanya keadaan perniagaannya di Pasar Payang.
Zaiton menitiskan air mata ketika ditanya keadaan perniagaannya di Pasar Payang.

Senada dengan Abdul Wahab, Mohd Lukman Hakim Mohamad, 33 berkata, dia terpaksa menutup awal kedai sehingga tengah hari atau jam 2 petang berbanding waktu kebiasaan jam 5 petang kerana jumlah pelanggan yang merosot.

"Musim sekarang saya tak dapat buka kedai lama, jadi terpaksa buat kerja lain seperti buat khidmat penghantaran makanan dan sebagainya.

"Kalau tak, tak makanlah saya sekeluarga," katanya yang menanggung isteri, anak dan ibu yang agak uzur.

Sementara itu, seorang peniaga, Ibrahim Jusoh berkata, dia mengakui keadaan itu dialami oleh semua sektor perniagaan tidak kira berskala kecil atau besar.

"Apa yang dialami buat masa ini, kesannya menimpa semua orang tak kira dalam sebarang bentuk aspek perniagaan.

"Kita tidak boleh berbuat apa-apa selain akur dengan arahan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan," katanya yang merupakan Setiausaha Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Kuala Terengganu.

Menurutnya, dia berharap ada perancangan terbaik yang akan dirangka kerajaan untuk memastikan kesinambungan peniaga kecil di seluruh negara.

"Kita harap pihak kerajaan juga akan membantu dalam merangka perancangan terbaik untuk para peniaga kecil yang terkesan dengan penularan Covid-19," katanya.

Zaiton ketika ditemui di lot niaganya di Pasar Payang.
Zaiton ketika ditemui di lot niaganya di Pasar Payang.