Pulau Perhentian, Pulau Redang lebih sepi berbanding musim tengkujuh

Foto arkib Pulau Redang - Foto 123RF
Foto arkib Pulau Redang - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suasana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Redang dan Pulau Perhentian diibaratkan lebih sunyi dan sepi berbanding musim tengkujuh.

Ia berikutan keadaan di sekitar yang bukan sahaja tidak menampakkan aktiviti pelancongan malah aktiviti harian penduduk juga tidak banyak dilakukan berikutan pematuhan dan disiplin tinggi penduduk untuk terus kekal di rumah sepanjang PKP.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Perhentian, Mohd Zakuan Mad Nasir berkata, berbanding musim tengkujuh, ketiadaan pelancong tidak membataskan pergerakan penduduk kerana mereka masih boleh berkumpul di gerai makan, solat berjemaah di surau dan melakukan kenduri serta majlis jamuan.

"Namun PKP ini sangat berbeza kerana penduduk memilih untuk kekal berada di rumah dan memahami kepentingan untuk mematuhi peraturan itu agar hasrat kerajaan memutuskan rantaian jangkitan (koronavirus) Covid-19 tercapai," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berdasarkan pemantauannya, barangan keperluan harian untuk lebih 2,000 penduduk di pulau peranginan itu masih mencukupi bagi tempoh seminggu hingga dua minggu lagi.

"Baru-baru ini pun, kerajaan negeri ada menyalurkan bantuan kepada keluarga yang terjejas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut datang menghantar barangan keperluan asas seperti beras, tepung, susu, gula dan minyak.

"Kebanyakan penduduk di sini adalah nelayan, jadi mereka tetap turun ke laut dalam jarak dekat untuk mencari bekalan ikan dan hasil laut lain kerana hanya itu satu-satunya sumber rezeki mereka, cuma mereka perlu mengehadkan waktu keluar seperti yang ditetapkan kerajaan iaitu sebelum 6 petang," katanya, sambil menegaskan belum lagi ada kes positif Covid-19 di pulau itu.

Artikel Berkaitan:

Foto arkib Pulau Perhentian - Foto 123RF
Foto arkib Pulau Perhentian - Foto 123RF

Aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian dan Pulau Redang baru sahaja dibuka kepada pelancong bermula 1 Mac lalu selepas empat bulan ditutup berikutan musim tengkujuh, namun 'keceriaan' dan hasrat penduduk untuk kembali mencari rezeki 'terkubur' susulan arahan PKP itu.

Penduduk pulau dilihat akur dengan arahan tersebut dan ia diakui Penyelaras Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Pulau Redang, Leftenan Muda Awang Azmi Kamarulzaman yang bertugas memantau tahap pematuhan PKP di pulau itu.

Anak jati Pulau Redang itu berkata, tinggal di pulau dan terasing dari tanah besar bukan bermaksud mereka terputus hubungan dengan dunia luar dan boleh mengabaikan arahan PKP.

"Ini kerana pihak berkuasa seperti APM, Rela dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap memantau pergerakan penduduk di pulau agar mereka turut mengamalkan penjarakkan sosial ketika keluar membeli barangan keperluan di kedai runcit berdekatan.

"Walaupun penduduk dibenarkan keluar ke tanah besar untuk urusan penting, namun setakat ini masih belum ada sebarang pergerakan keluar masuk ke pulau dan pemantauan kami mendapati pematuhan PKP di pulau ini sangat memuaskan," katanya yang berada dalam keadaan siap saga 24 jam untuk ditugaskan ke lokasi lain sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, Pulau Redang adalah antara lokasi utama yang diberikan bantuan barangan keperluan memandangkan lokasinya yang agak jauh dan memerlukan bot untuk mengangkut barangan.

"Kita baru sahaja hantar bekalan makanan pada 30 Mac lepas dan akan terus menghantar barangan keperluan sekiranya tempoh PKP dilanjutkan.

"Pejabat DUN Batu Rakit sentiasa berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan petugas keselamatan APM, Rela serta PDRM bagi memastikan kebajikan kira-kira 2,000 penduduk di pulau itu sentiasa dijaga sepanjang PKP dilaksanakan," katanya. - Bernama