Status PKP bakal diketahui dalam masa 72 jam

PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini dan kerajaan dijangka membuat pengumuman pada Jumaat ini yang pastinya dinantikan rakyat di seluruh pelosok tanah air.
PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini dan kerajaan dijangka membuat pengumuman pada Jumaat ini yang pastinya dinantikan rakyat di seluruh pelosok tanah air.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Status arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada dilanjutkan atau ditamatkan bakal diketahui dalam tempoh kira-kira 72 jam ini selepas ia dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini dan kerajaan dijangka membuat pengumuman pada Jumaat ini yang pastinya dinantikan rakyat di seluruh pelosok tanah air.

Jika diteliti, rakyat mengharapkan ia tidak dilanjutkan selepas memasuki hari ke-22 pelaksanaan PKP hari ini dan ingin kembali kepada kehidupan normal, namun kerajaan pastinya akan membuat keputusan tepat berdasarkan situasi semasa kes Covid-19 di negara ini.

Untuk rekod, Malaysia merekodkan 69 kes sporadik Covid-19 setakat ini, iaitu kes yang tidak diketahui asal-usul dan punca jangkitannya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara, sebanyak 170 kes baharu Covid-19 dengan satu lagi kematian direkodkan setakat 12 tengah hari semalam, menjadikan jumlah kes positif 3,963 kes membabitkan keseluruhan 63 kematian.

Kita juga mungkin boleh berbangga apabila indeks jenayah di seluruh negara turun sebanyak 70 peratus sepanjang tempoh PKP, namun tangkapan individu yang ingkar PKP di seluruh negara sehingga semalam sudah mencecah 6,451 orang.

Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 666 operasi sanitasi di 79 zon termasuk kesemua 18 zon merah.
Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 666 operasi sanitasi di 79 zon termasuk kesemua 18 zon merah.

Menyentuh mengenai operasi sanitasi awam Covid-19, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 666 operasi sanitasi di 79 zon termasuk kesemua 18 zon merah.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh itu, bangunan kerajaan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) turut dinyah cemar termasuk 24,077 unit rumah PPR.

Pastinya operasi itu penting kerana kini terdapat satu lagi lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), yang terbaharu bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di sini.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di tiga kawasan iaitu Simpang Renggam, Kluang, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, dan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Di sebalik segala usaha itu, rakyat dan syarikat korporat turut bersama-sama kerajaan membantu membendung wabak Covid-19 termasuk melalui sumbangan kepada Tabung Covid-19 yang kini mencecah RM22.6 juta untuk disalurkan kepada pihak yang berkenaan.

Barisan hadapan negara terus berjuang melakukan khidmat terbaik dalam memerangi wabak Covid-19 di seluruh negara.
Barisan hadapan negara terus berjuang melakukan khidmat terbaik dalam memerangi wabak Covid-19 di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui hantaran di laman Facebooknya berkata, sehingga Isnin lalu, sejumlah RM5.68 juta dana daripada tabung itu disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi tujuan pembelian barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada mereka yang terjejas akibat wabak tersebut.

Muhyiddin berkata, sebanyak RM195,000 juga disalurkan atas nama Bayaran Ihsan Kematian kepada 39 waris mangsa jangkitan Covid-19.

Tabung Covid-19 dilancarkan pada 11 Mac lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.

Justeru, Malaysia memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat secara keseluruhannya dalam situasi PKP ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 daripada terus menular atau memberi kesan yang tidak sepatutnya.

Tunaikanlah tanggungjawab sebagai rakyat dengan mematuhi peraturan, tidak menyebarkan berita palsu termasuk di media sosial dan hargailah peranan petugas barisan hadapan yang sedang berjuang demi keamanan dan keselamatan negara. - Bernama