PKP: 20,000 pengusaha bas sekolah terjejas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN – Seramai 20,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara tiada pendapatan tetap apabila arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan yang menyebabkan tempoh cuti sekolah dilanjutkan.

Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, kebanyakan mereka pula hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan hasil bayaran tambang bas.

Menurutnya, beliau merayu kepada ibu bapa supaya dapat menjelaskan tunggakan tambang dari Januari sehingga Mac kepada pengusaha bas masing-masing dengan membuat bayaran secara dalam talian.

“Kita faham dalam keadaan sekarang semuanya terjejas. Tapi kita perlu saling membantu dan saya mohon kepada ibu bapa buatlah bayaran tambang seperti yang telah dipersetujui bersama dalam tempoh Januari sehingga November.

“Ikut rekod kami, sebanyak 60 peratus ibu bapa buat bayaran secara bulanan dan selebihnya buat bayaran selepas tiga bulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun katanya, meskipun sudah masuk bulan April beliau difahamkan masih ramai yang belum membuat bayaran.

Mohd Rofik
Mohd Rofik

Menurutnya, keadaan itu telah menyusahkan pengusaha yang kini hidup seharian mereka semakin sukar disebabkan hilang sumber pendapatan.

Artikel Berkaitan:

“Soal tambang ini telah dipersetujui berdasarkan perkhidmatan ditawarkan selama 11 bulan tempoh persekolahan.

“Kita pun tak pernah jangka yang negara akan alami keadaan macam ini menyebabkan semuanya tidak dapat berjalan seperti biasa termasuk sekolah. Jadi saya amat berharap ibu bapa faham dan dapat tunai tanggungjawab bayar tambang seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, melihat keadaan semasa koronavirus (Covid-19) masih belum dapat dipastikan bila sesi persekolahan dapat dibuka semula.

Mohd Rofik berkata, pihaknya sangat berharap ibu bapa dapat menghubungi dan berbincang dengan pengusaha bas masing-masing.

“Mungkin ada ibu bapa yang nak jelaskan tambang tapi hadapi kesukaran kerana tempoh PKP ini. Jadi, hubungilah pengusaha bas sekolah anak anda.

“Ingatlah pengusaha atau pemandu bas sekolah inilah yang memastikan keselamatan anak-anak pergi ke sekolah. Tamat saja tempoh PKP ini, perkhidmatan kami akan berjalan seperti biasa," katanya.