Pasti Melaka catat peningkatan murid

Sebuah premis Pasti di negeri ini yang menerima kehadiran murid baharu pada sesi persekolahan tahun ini. Gambar kecil, Kamarudin.
Sebuah premis Pasti di negeri ini yang menerima kehadiran murid baharu pada sesi persekolahan tahun ini. Gambar kecil, Kamarudin.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di negeri mencatat peningkatan murid baharu sebanyak 22.8 peratus berbanding tahun lalu.

Persuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek berkata, peningkatan tersebut jelas menunjukkan Pasti masih masih mempunyai permintaan walaupun berdepan saingan dengan tadika Islam swasta lain.

"Tahun lalu Pasti menerima 3,400 murid manakala pada tahun ini jumlahnya meningkat kepada 4,275.

"Daripada jumlah keseluruhan murid yang kita terima, seramai 1,177 daripada itu merupakan kanak-kanak dalam kawasan Hang Tuah Jaya manakala Parlimen Tangga Batu seramai 922 orang," katanya.

Menurutnya, penambahan bilangan murid itu secara tak langsung memaksa Pasti membuka sembilan lagi premis bagi menampung kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan premis di negeri ini sebanyak 72.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga Pasti yang tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menumpang bangunan kerana kekangan kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan Pasti sejak sekian lama berperanan menjadi penghubung masyarakat tanpa memandang latar belakang ideologi politik ibu bapa.

"Tidak kira apa juga parti ibu bapa, kita tetap terbuka menerima anak mereka untuk dididik oleh guru-guru yang berpengalaman dan berkemahiran termasuk membudayakan mereka dengan al-Quran.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin ibu bapa pelajar yang pelbagai aliran dan ideologi politik telah menghantar anak mereka ke sini disebabkan keyakinan mereka terhadap sistem yang kita perkenalkan," katanya.

Tambahnya, yuran yang murah serendah RM60 sebulan turut menjadi faktor kenapa Pasti menjadi pilihan utama masyarakat.