X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Thailand umum pakej rangsangan RM252 bilion

Jalan raya sekitar Bangkok lengang selepas perintah berkurung dijalankan di negara itu. - Foto: Xinhua
A
A

BANGKOK - Thailand hari ini telah meluluskan pakej rangsangan ketiga bernilai 1.9 trilion baht (RM252 bilion) untuk mengurangkan impak ekonomi wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kewangan Uttama Savanayana berkata, pakej itu termasuk undang-undang untuk meminjam 1 trilion baht (RM133 bilion) melalui penerbitan bon dan langkah bank pusat sebanyak 900 bilion baht (RM119 bilion) bagi menyediakan pinjaman mudah serta bon korporat.

Menurut beliau, daripada pinjaman 1 trilion baht itu, sejumlah 600 bilion baht (RM80 bilion) akan dipakai untuk langkah-langkah berkaitan kesihatan awam dalam memerangi pandemik Covid-19.

"Kerajaan dijangka membuat pinjaman pada awal Mei dengan tarikh akhir (selesai) pada September tahun depan,” katanya.

Bulan lepas, Thailand memperkenalkan dua pakej rangsangan membabitkan suntikan sebanyak 400 bilion baht (RM53 bilion) ke dalam ekonomi dan pakej berjumlah 117 bilion baht (RM16 bilion) yang merangkumi pemberian tunai berjumlah 45 bilion baht kepada 3 juta pekerja. Program pemberian tunai itu telah diperpanjangkan selama tiga bulan.

Sementara itu, Bank of Thailand (BoT) mengumumkan bahawa ia akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak 500 juta baht pada kadar faedah dua peratus untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus