X

Kindly register in order to view this article
!

Peluang kembali ke pangkal jalan

A
A

Ini adalah hari ke-22 kita hidup dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Sudah 22 hari juga kita kehilangan kesibukan yang rutin untuk bergegas ke tempat kerja dengan mengharungi kesesakan jalan raya. Tiada pemandu di hadapan yang hendak kita marahi lagi kerana lambat bergerak tatkala lampu trafik bertukar hijau.

Tiada lagi keluhan apabila melihat begitu ramai penumpang yang menanti di platform LRT kerana kita tidak selesa berhimpit-himpit. Tidak perlu lagi fikir apa nak makan pada waktu tengah hari. Tiada lagi keletihan memandu jauh ke luar kawasan kediaman untuk menghadiri majlis kenduri sahabat handai dan taulan pada hujung minggu.

Semuanya telah terhenti. Selama ini, walaupun kita sibuk atau menyibuk, kita masih bebas untuk menentukan apa yang kita mahu. Kini kita tidak lagi sesibuk dahulu apabila kita hidup dalam kurungan kediaman. Kita mati kutu pada mulanya. Tetapi kini kita terpaksa menyesuaikan diri dengan rutin hidup yang sebegini.

Sebenarnya selama ini, hidup kita makin tidak terkawal. Kita bersembang dengan kawan-kawan pun tidak tentu masa. Malah dalam mesyuarat atau town hall syarikat pun kita masih membelek telefon. Banyak waktu pejabat kita ambil kerana kita semakin lemah mengawal nafsu diri untuk menumpukan masa kepada produktiviti kerja.

Kita makan apa sahaja dengan tidak menentu masa. Pagi, petang, siang dan malam kita asyik makan apa yang kita ingini. Makan di luar tidak menjadi suatu momen yang khas bagi meraikan hari jadi, meraikan kejayaan pencapaian syarikat, kenduri atau makan bersama keluarga. Bila kita asyik menjamu selera pada bila-bila masa, apa lagi yang special pada acara makan itu kecuali yang special adalah menunya?

Sesuatu yang bagus bila kita berdepan virus ini ialah pergerakan kita dilumpuhkan melalui PKP. Tabiat kita yang lepas bebas kini telah diikat. Apabila kita terpaksa berdiam di rumah, tiba-tiba kerengsaan kita kerana tidak dapat keluar itu perlahan-lahan mengubah tabiat kita tatkala sibuk.

Ada yang berkata, ia memberi kita peluang untuk reset kehidupan bermula dengan angka sifar. Saya lihat inilah satu-satunya peluang buat kita kembali ke pangkal jalan. Bagi yang gila kerja, inilah masa kita merenungi kembali bahawa kerja yang kita gilakan itu sebenarnya untuk kelangsungan hidup.

Apabila kita berdiam di rumah, kita nampak anggota keluarga yang kita abaikan selama ini. Jika anak-anak telah tidur setelah kita pulang kerja dan mereka masih tidur apabila kita keluar ke tempat kerja, kini kita boleh pandang dan tatap mereka. Kita sambung dan luaskan rasa kasih kita kepada mereka.

Bagi isteri yang memasak, inilah masa untuk mencuba puluhan resipi dari buku yang tersimpan. Dalam keadaan begini, para isteri sempat memandang makanan yang terbuang dan mula pandai menyukat kadar hidangan. Anak-anak yang sukakan makanan segera pun belajar makan apa yang emak masak. Yang penting, kita belajar berjimat cermat. Kita nampak roti adalah makanan yang mudah, sedap, mengenyang lagi menjimatkan.

Kini kita belajar menonton berita berselang-seli dengan hiburan. Kita meletakkan prioriti maklumat dan pengetahuan. Kita berpeluang untuk memberi perhatian kepada mereka yang kelaparan.

Barulah kita sedar bahawa kelaparan itu bukan semata-mata kerana berpuasa sahaja tetapi juga kerana ketiadaan wang untuk membeli makanan apabila kita melihat pelbagai usaha NGO-NGO menghantar makanan kepada yang kelaparan.

Dalam suasana kita punyai banyak masa, kita berhenti untuk melihat merasai dan cakna kepada insan lain yang dalam kesusahan. Kita mula mengerti bahawa bersedekah itu bukan sahaja apabila permintaan itu tiba dalam bentuk tabung bergerak di masjid atau melalui peminta sedekah jalanan. Kini kita belajar menghulur sedekah tanpa menunggu permintaan yang datang melalui kemudahan internet.

Yang penting, dalam suasana yang lebih merehatkan ini, kita boleh lamakan sedikit solat, panjangkan doa dan mengkhatam al-Quran. Pada tempoh waktu yang diberhentikan ini, kita berpeluang merenung dan lebih mengingatkan Yang Satu. Mudah-mudahan kita sedang kembali ke pangkal jalan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus