Kad ATM dipegang ah long: Polis minta GBAM tampil serah bukti

Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad
Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis meminta badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Banteras Along Malaysia (GBAM) tampil menyalurkan maklumat berhubung dakwaan lebih 50,000 peminjam ceti haram berputih mata akibat kad pengeluaran wang automatik (ATM) dipegang ah long.

Dakwaan itu turut menyatakan mangsa yang sepatutnya menerima wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berkemungkinan menjadi milik ah long.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, beliau menggesa NGO terbabit tampil sekiranya mempunyai maklumat berhubung perkara terbabit.

Menurutnya, buat masa ini tiada sebarang laporan diterima berkaitan ah long mengambil wang BPN daripada peminjam (mangsa) mereka.

"Jika betul ada kejadian itu, saya minta NGO itu tampil bawa maklumat kepada kita untuk siasatan.

"Usah cakap tanpa fakta, kemukakan fakta untuk tindakan kita," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Zakaria berkata, diingatkan juga agar usah mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa bukti yang jelas hingga menggusarkan kerana itu akan menimbulkan suasana yang tidak selesa di kalangan masyarakat.

Sementara itu, aktivis, Yusuf Azmi berkata, beliau menasihatkan agar GBAM lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah lebih 50,000 penerima itu yang terjejas itu adalah jumlah yang ramai dan saya tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung kenyataan NGO itu.

"Sekiranya terdapat peminjam ceti haram ini mencagarkan kad ATM, mereka boleh membatalkan kad tersebut dan itu memang disyorkan selain membuat laporan polis. Bagi saya apa yang disampaikan GBAM itu satu andaian yang tidak jelas dan saya tak faham kenapa GBAM membuat kenyataan sedemikian," katanya.