Pertahankan institusi raja-raja Melayu

A
A

RAKYAT Malaysia, khususnya rakyat negeri Pahang kini bergembira dengan pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Pahang yang ke-6 dalam sejarah Kesultanan Pahang Moden.

Baginda dimasyhurkan dalam satu istiadat di Istana Abu Bakar, Pekan Pahang semalam dan disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia. Selain itu, seluruh rakyat Malaysia dan negeri Pahang khususnya juga menyampaikan sembah menjunjung kasih kepada Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang telah menjalankan tanggungjawab sebagai raja pemerintah negeri Pahang selama 45 tahun dan Yang di-Pertuan Agong Ke-7.

Mengambil semangat pema-syhuran Sultan Abdullah, alangkah baiknya jika kita dapat memahami akan keperluan institusi raja-raja Melayu yang unik dan tiada seumpamanya di tempat lain. Umum mengetahui, Malaysia mengamalkan konsep Raja Berperlembagaan. Perlemba-gaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri mempunyai peruntukan-peruntukan yang jelas akan peranan SBP Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu seperti kuasa-kuasa khas, peranan dan tugasan sebagai raja pemerintah sebuah kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya.

Namun begitu konsep Raja Berperlembagaan ini sering dianggap oleh ramai yang kurang prihatin sebagai membazir wang rakyat dan hanya berfokus kepada perkara simbolik dan ritual. Malah ada yang bersuara menyatakan cukup sahaja dengan kerajaan dipilih rakyat. Ramai tidak menyedari bahawa raja-raja Melayu dan institusi diraja itu sendiri mempunyai wibawanya yang unik.

Wibawanya wujud dari tugasan dan tanggungjawab yang hanya raja-raja Melayu dapat melaksanakannya tanpa pengaruh politik seperti ketua agama Islam dan pemerintah tertinggi angkatan tentera. Institusi raja-raja Melayu mempunyai siri adat dan ritual tertentu yang kompleks dan ia tidak boleh diamalkan oleh rakyat biasa.

Ini bertepatan dengan hujah yang dibawa oleh Walter Bagehot, penulis makalah ulung The English Constitution pada tahun 1867 yang masih menjadi rujukan kepada pengkajian Sains Politik, Kerajaan dan Perlembagaan sehingga kini. Bagehot berkata Monarki direpresentasikan sebagai The Dignified yang perlu memenangi hati dan kesetiaan rakyat massa melalui adat dan ritual unik yang menjadi identiti negara serta memastikan mana-mana rakyat yang tidak punya kekuatan politik bakal terjaga.

Menurut Bagehot lagi, monarki diperlukan bagi memastikan golo-ngan minoriti terjaga. Beliau berhujah dalam bukunya itu, teori ultra-demok-rasi yang membawa kepada pengasingan kuasa mutlak Legislatif (Perundangan), Eksekutif (Kabinet) dan Judisiari (Kehakiman) dalam kerajaan hanya akan membawa kepada konsep ‘1 tubuh, 1 undi’ dan peng-akhirannya kepada ‘yang tidak sepatutnya memimpin, akan memimpin’. Ini bermaksud sesiapa yang beroleh undi majoriti akan berkuasa mutlak dan boleh menindas minoriti.

Oleh sebab itu, Bapa Pengasas negara kita memastikan peranan The Dignified itu wujud dalam ketiga-tiga cabang kerajaan di mana Eksekutif hanya melaksanakan tugas bagi pihak Yang di-Pertuan Agong dan keperluan Cokmar Diraja untuk dipamerkan dalam Dewan Parlimen bagi menandakan ‘kehadiran’ atau ‘presence’ Baginda sepanjang persidangan. Ini semua adalah untuk mengingatkan ahli-ahli politik bahawa The Dignified sering memerhatikan kerajaannya.

Selain itu, walaupun sudah jelas melalui Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menggariskan prerogatif dan tanggungjawab raja pemerintah, peranan The Dignified yang dimainkan oleh monarki dapat membantu memastikan rakyat bersatu padu sekiranya wujud pertelingkahan disebabkan perbezaan pandangan dalam kalangan rakyat.

Salah satu tanggungjawab penting adalah sebagai penjaga dan pemeliharaan agama Islam. Sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing, Raja-Raja Melayu diperuntukkan kuasa pemutus sekiranya ada apa jua percanggahan dalam interpretasi hukum dan perjalanan urusan Islam serta tidak boleh dipersoal hatta oleh Kerajaan Persekutuan.

Justeru, haruslah kita sebagai rakyat mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dengan sebaiknya. Kita tidak boleh membiarkan institusi ini dipersoalkan relevansinya sehingga ada suara sumbang yang mahukan Malaysia menjadi republik sekali gus memansuhkan monarki. Institusi ini tidak boleh dilihat untuk orang Melayu semata-mata, ia adalah untuk semua kerana raja-raja Melayulah tempat untuk rakyat mengadu nasib kerana baginda-baginda tuanku semuanya adalah payung berteduh tanpa mengira agama, bangsa dan taraf hidup. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda Umno


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.