Kadar penggunaan utiliti meningkat 50 peratus sepanjang PKP

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar penggunaan utiliti seperti elektrik, gas dan air dijangka meningkat sehingga 50 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Turut mengalami kenaikan ialah pembelian barangan penjagaan diri yang menyumbang sebanyak 43.9 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelbagai barang dan perkhidmatan.

Perbelanjaan bagi makanan dan minuman pula meningkat sebanyak 27 peratus dengan mengambil kira pembelian bahan mentah bagi makanan yang dibeli di luar rumah sebelum PKP.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, hasil kajian mendapati, isi rumah tidak lagi membeli barang tahan lama dan separa tahan lama sepanjang tempoh PKP kecuali pembelian secara dalam talian.

"Penggunaan pengangkutan awam yang minima, pergerakan yang terhad serta penurunan harga minyak menyebabkan purata perbelanjaan isi rumah bagi pengangkutan turun sehingga 80 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Kajian Impak PKP Kepada Isi Rumah yang disiarkan menerusi laman web Jabatan Perangkaan di sini hari ini.

Kajian itu dibuat bertujuan untuk melihat corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan kepada item terperinci perbelanjaan yang dibuat oleh isi rumah di negara ini.

Objektif utama adalah untuk mengkaji keperluan tunai yang perlu ada bagi isi rumah untuk berbelanja sepanjang PKP.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, corak perbelanjaan isi rumah sepanjang PKP telah mengalami perubahan kerana peruntukan kewangan hanya ditumpukan kepada makanan, utiliti, kesihatan dan komunikasi.

"Purata perbelanjaan penggunaan semasa PKP dianggarkan berkurang sebanyak RM1,923 atau 48 peratus manakala purata perbelanjaan isi rumah termasuk perbelanjaan kewangan mencatatkan penurunan sebanyak RM3,504 atau 55 peratus daripada perbelanjaan sebelum PKP," katanya.

Kajian itu turut mendapati kumpulan utama yang mencatatkan penurunan ialah pakaian dan kasut sebanyak (95 peratus), restoran dan hotel (86 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (72 peratus).

Turut terkesan ialah, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (71 peratus), minuman alkohol dan tembakau (65 peratus), barang dan perkhidmatan (39 peratus) dan kesihatan (38 peratus).

Dari segi komposisi perbelanjaan, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol mendominasi purata perbelanjaan dengan 44 peratus berbanding hanya 18 peratus sebelum PKP.

Bagi kumpulan perumahan, air, elektrik gas dan bahan api lain (19 peratus), komunikasi (10 peratus) dan barang serta perkhidmatan (sembilan peratus).

Komposisi perbelanjaan bagi kumpulan lain menyumbang kurang lima peratus.

Dalam pada itu, Uzir berkata, kajian turut mendapati dari sudut kelas pendapatan didapati kumpulan kelas pendapatan Top 20 (T20) menunjukkan penurunan ketara dari segi perbelanjaan penggunaan iaitu sebanyak (59 peratus) diikuti kumpulan M40 (48 peratus) dan B40 (41 peratus).

"Jika semua isi rumah menerima penangguhan rasmi pinjaman yang diumumkan oleh Bank Negara maka perbelanjaan kumpulan kelas T20 menurun secara ketara berbanding sebelum PKP iaitu sebanyak 63 peratus.

"Manakala kumpulan pendapatan M40 dan B40 masing-masing menurun 54 peratus dan 49 peratus," katanya.

Sehubungan itu, katanya, bagi sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, ancaman Covid-19 di seluruh dunia turut menjejaskan interaksi di antara ejen ekonomi negara termasuk sektor isi rumah, perniagaan dan pasaran luar.

"Situasi ini memberi cabaran lebih besar kepada ekonomi negara walaupun sektor kerajaan telah menyuntik rangsangan ekonomi sebanyak RM250 bilion yang sebahagiannya besarnya iaitu RM128 bilion disalurkan kepada isi rumah," katanya.

Tambah beliau, dapatan kajian itu diharap dapat membantu kerajaan dan rakyat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu untuk mengurangkan ancaman Covid-19.

Menurutnya, jika pandemik itu terus berpanjangan ia akan menyebabkan rakyat terus berkurung dan mengakibatkan ekonomi lumpuh.

"Permintaan isi rumah Malaysia dan seluruh isi rumah dunia akan menguncup. Industri akan banyak yang terhenti terutama sektor perkhidmatan dan pembuatan.

"Ianya diikuti dengan kehilangan kerja dan pinjaman tidak berbayar akan meningkat mendadak. Moga usaha pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan usaha sejagat dapat membendung kemelesetan ekonomi," katanya.