Penangguhan bayaran ansuran PPK secara automatik: AKPK Kelantan

AKPK sentiasa membantu orang ramai untuk merancang kewangan dengan lebih baik. (Gambar sebelum PKP).
AKPK sentiasa membantu orang ramai untuk merancang kewangan dengan lebih baik. (Gambar sebelum PKP).
A
A
A

KOTA BHARU - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan penangguhan bayaran ansuran Program Pengurusan Kredit (PPK) secara automatik untuk tempoh enam bulan bermula April sehingga September 2020.

Pengurus AKPK Cawangan Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor berkata, semua pelanggan PPK secara automatik layak untuk penangguhan tersebut termasuk pinjaman kad kredit.

Menurutnya, pinjaman PPK yang dibayar melalui potongan gaji juga layak untuk penangguhan automatik.

"Bagaimanapun, ahli perlu memaklumkan kepada pihak syarikat masing-masing untuk menghentikan potongan gaji tersebut.

"Penangguhan automatik oleh AKPK ini termasuk kemudahan pinjaman daripada institusi bukan kewangan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tekun Nasional dan Koperasi Kredit, selagi kemudahan tersebut berada di bawah PPK.

"Mana-mana pihak yang tidak mahu meneruskan dengan pakej ini boleh membuat bayaran ansuran PPK sepenuhnya setiap bulan mengikut jadual," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Rizauddin berkata, jika pelanggan tidak mengalami masalah aliran tunai ekoran wabak Covid-19 ini, AKPK menggalakkan untuk meneruskan pembayaran bulanan PPK kerana penangguhan pembayaran akan melibatkan bayaran faedah atau keuntungan tambahan.

Menurutnya, bagi pinjaman konvensional, faedah akan terus dikenakan ke atas baki tertunggak semasa tempoh moratorium.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, untuk pembiayaan Islam pula, keuntungan akan terus terakru pada jumlah prinsipal yang belum dijelaskan.

"Ini bermakna hanya pembayaran balik yang ditangguhkan dan bukannya pengumpulan bayaran faedah dan keuntungan. Tempoh pembayaran balik anda pula akan dilanjutkan selama enam bulan.

"Jika anda memohon penangguhan untuk bulan Mac dan permohonan diluluskan, anda layak untuk penangguhan automatik dan tarikh pembayaran berikutnya adalah selepas tempoh penangguhan enam bulan, iaitu pada Oktober depan,” jelasnya.

Justeru katanya, penangguhan hanya melibatkan jangka masa enam bulan sahaja dan AKPK menasihatkan semua pelanggan menyusun aktiviti kewangan dengan baik walaupun kerajaan memberikan pelbagai bantuan dan pengecualian pembayaran.