1,169 rakyat Malaysia sudah pulang dari Singapura

Hamzah (tengah) diiringi Ayob Khan (dua dari kiri) melakukan lawatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru hari ini.
Hamzah (tengah) diiringi Ayob Khan (dua dari kiri) melakukan lawatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seramai 1,169 yang bekerja di Singapura sudah pulang ke negara ini sejak 1 April lalu hingga semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah hanya mewakili 10 peratus daripada 11,698 rakyat Malaysia bekerja di Singapura yang berulang-alik dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, mereka pulang menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini serta CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah dekat sini.

"Mereka semuanya sudah menjalani proses saringan kesihatan di negara ini dan diarahkan untuk melakukan kuarantin diri selama 14 hari.

"Kita anggarkan ada 40,000 pekerja Malaysia yang sebelum ini berulang alik setiap hari ke republik itu namun kita tidak tahu jumlah tepat atau sama ada mereka akan pulang atau kekal di sana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Hamzah (tengah) menjalani ujian kesihatan sebelum memulakan lawatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru hari ini.
Hamzah (tengah) menjalani ujian kesihatan sebelum memulakan lawatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Panglima Briged 7, Tentera Darat Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Zawawi Adam.

Artikel Berkaitan:

Hamzah mengulas jumlah rakyat Malaysia bekerja di Singapura yang sudah pulang setakat ini terutama apabila kerajaan republik tersebut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak tahu jumlah sebenar rakyat Malaysia bekerja di Singapura yang masih terkandas selepas negara berkenaan melaksanakan PKP namun mereka perlu melakukan saringan kesihatan sebelum pulang ke tanah air.

Menurutnya, pihak berkuasa di kedua-dua pintu masuk berkenaan sudah mengetatkan pemeriksaan dan rakyat Malaysia yang mahu pulang perlu mengemukakan sijil kesihatan dari Singapura bagi mengesahkan mereka sihat.

Hamzah (kanan) melakukan pemeriksaan terhadap seorang penunggang motosikal semasa melakukan lawatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru hari ini.
Hamzah (kanan) melakukan pemeriksaan terhadap seorang penunggang motosikal semasa melakukan lawatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru hari ini.

Katanya, sejurus tiba di pintu masuk negara mereka akan diperiksa semula oleh anggota Kementerian Kesihatan bagi pengesahan sebelum diarah menjalani kuarantin dua minggu di kediaman masing-masing.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, kira-kira 700 rakyat Indonesia di negeri ini pulang ke negara asal pada setiap hari dan ketika ini kerajaan tidak lagi membenarkan warganegara tersebut masuk ke Malaysia.

Menurutnya, hanya rakyat Malaysia di Indonesia yang mahu pulang dibenarkan untuk masuk tetapi akan melalui proses tapisan kesihatan.

Selain itu katanya, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memperketatkan kawalan di semua jalan tikus dan pintu masuk haram di negeri ini.