Kos hotel terhad RM150 sehari seorang: Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan hanya menanggung kos sebanyak RM150 sehari bagi individu yang memilih untuk menjalani kuarantin wajib di 45 hotel yang telah diwartakan sebagai pusat kuarantin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi individu yang ingin menginap di hotel yang melebihi peruntukan yang ditetapkan, perbelanjaan perlu ditanggung sendiri oleh mereka.

Beliau memberi penjelasan itu berikutan terdapat tohmahan bahawa wujud layanan tidak sama rata selepas tular senarai hotel bertaraf lima bintang yang turut diwartakan sebagai pusat kuarantin.

“Peringkat awalnya, kita wujudkan hotel seperti ini kerana mendapat permohonan daripada pihak kedutaan luar di mana diplomat asing mahu tinggal di hotel yang akan dibayar oleh kedutaan masing-masing.

“Sebab itu ada hotel yang bertaraf tiga bintang dalam senarai yang diwartakan ini. Bagaimanapun saya ingin tegaskan bahawa mana-mana individu termasuk rakyat Malaysia yang memilih untuk kuarantin di hotel, kos yang ditanggung terhad kepada RM150 sehari sama seperti di pusat-pusat kuarantin lain,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, walaupun individu yang memasuki negara ini boleh memilih untuk tinggal di hotel, namun kerajaan menetapkan hanya hotel yang telah diwartakan.

“Mereka tidak boleh memilih untuk tinggal di hotel selain yang diwartakan itu kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti di pusat kuarantin lain.

“Mereka akan tetap dipantau oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan sepanjang tempoh itu tidak dibenarkan keluar dari bilik dan ahli keluarga juga tidak boleh bertemu mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan: