Tempuh 11 sekatan jalan raya bantu Nursahira

Muhammad Azlan menenangkan bapa Nursahira, Mizuar Md Isa di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini. -FOTO MUHAMMAD AZLAN
Muhammad Azlan menenangkan bapa Nursahira, Mizuar Md Isa di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini. -FOTO MUHAMMAD AZLAN
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang ahli perniagaan hartanah dari Besut, Terengganu sanggup menempuhi 11 sekatan jalan raya menuju ke Alor Setar untuk membantu seorang pembantu kedai yang dipenjarakan lima bulan kerana menghina polis di media sosial.

Muhammad Azlan Abdullah @ Ali, 33, berkata, beliau tidak menyokong tindakan yang dilakukan oleh Nursahira Mohd Mizuar, 20, namun wanita tersebut wajar diberikan peluang kedua untuk berubah.

Menurutnya, beliau tidak mengenali wanita itu mahupun keluarganya namun rasa terpanggil untuk membantu memikirkan Nursahira dari keluarga yang bukan berada dan merasai kesusahan yang dilalui keluarga itu yang tidak mampu membayar denda RM10,000.

"Saya bertolak pada jam 1 petang dari Besut dan sampai ke Alor Setar kira-kira 10 malam, semalam. Perjalanan berjalan lancar walaupun perlu berhenti di 11 sekatan jalan raya sebelum sampai ke sini," katanya kepada Sinar Harian di pekarangan Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Permohonan tangguh hukuman penjara pembantu kedai ditolak

Muhammad Azlan berkata, lebih 10 peguam dari seluruh negara menawarkan diri untuk membantu wanita tersebut selepas beliau menyatakan perkara tersebut di media sosialnya selepas Nursahira dijatuhkan hukuman pada 31 Mac lalu.

Muhammad Azlan ketika ditemui media di luar pekarangan Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.- FOTO MUHAMMAD AZLAN
Muhammad Azlan ketika ditemui media di luar pekarangan Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.- FOTO MUHAMMAD AZLAN

Bagaimanapun, beliau memilih untuk menggunakan khidmat peguam berpengalaman, Datuk Naran Singh kerana mempunyai matlamat yang sama untuk membantu pembantu kedai berkenaan.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Sesyen Alor Setar menolak permohonan menangguhkan hukuman penjara lima bulan ke atas Nursahira, Muhammad Azlan berkata, beliau telah meminta peguambela membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun rayuan telah ditolak hari ini, peguam kita akan membawanya ke peringkat Mahkamah Tinggi pula dalam masa terdekat ini.

"Saya menyeru kepada semua agar berhati-hati dalam mengeluarkan perkataan yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, kaum ataupun agama di negara kita supaya kita boleh hidup makmur dan penuh harmoni," katanya.