Sorok 2,000kg daun ketum bawah timbunan bihun

Hasanuddin (tengah) melihat daun ketum yang dirampas.
Hasanuddin (tengah) melihat daun ketum yang dirampas.
A
A
A

TANAH MERAH - Tindakan licik dua lelaki yang menyorokkan 2,000 kilogram (kg) daun ketum di bawah timbunan bihun dalam sebuah lori berjaya dihidu sepasukan polis Kelantan dalam satu rondaan di kawasan Kampung Air Asahan, Batu Gajah di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi, lori yang dipandu seorang lelaki bersama seorang kelindan itu menghala ke Batu 11 ditahan polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pemandu lori itu diminta berhenti di tepi jalan dan selepas diperiksa anggota menemui bungkusan plastik hitam di bawah timbunan bihun.

Menurutnya, dalam plastik hitam itu pula ada plastik lutsinar yang mengandungi daun ketum dianggarkan bernilai RM60,000.

"Suspek berusia 48 dan 51 tahun bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tanah Merah.

"Hasil siasatan mendapati suspek adalah penganggur dan mempunyai rekod lampau,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan dua lelaki tersebut direman selama empat hari bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hasanuddin (tiga dari kiri) melihat daun ketum yang dibungkus dalam plastik.
Hasanuddin (tiga dari kiri) melihat daun ketum yang dibungkus dalam plastik.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, lori tersebut dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan ia sebahagian daripada ‘essential service’ ataupun perkhidmatan keperluan.

Bagaimanapun katanya, ia telah disalahgunakan pihak-pihak tertentu bagi tujuan membawa barang larangan.

"Polis akan memperketatkan kawalan di laluan khas di setiap sekatan jalan raya bagi memastikan tiada lagi pihak yang mengambil kesempatan.

“Kepada mereka yang bawa barang ataupun perkhidmatan di bawah 'essential service' ini, kita akan periksa secara terperinci," katanya.